PARA ibu bapa Keluarga Malaysia juga wajar mengambil iktibar daripada kematian lapan remaja yang bersama basikal lajak dirempuh kereta di Johor Bahru pada 2017 dan dua hari lalu, tiga remaja terbunuh ketika menunggang motosikal yang berlanggar sesama mereka di Jeli, Kelantan.

Perhatian serius kepada anak-anak yang masih dalam jagaan mereka yang seusia mangsa kedua-dua tragedi, tidak syak lagi masih terpikul pada bahu ibu bapa biar bagaimana sibuk pun mereka dalam urusan kehidupan harian termasuk kerana mencari nafkah.

Kegagalan atau kecuaian mereka mengawasi anak-anak terbabit dalam kegiatan yang tidak berfaedah apatah lagi yang membahayakan nyawa, telah terbukti ‘dihukum’ dengan kejadian yang tidak diingini.

Atas nama perikemanusiaan, kita turut bersimpati dengan keluarga remaja yang kehilangan insan tersayang ini.

Kejadian tiga remaja maut dipercayai akibat berlumba dan bergesel sesama sendiri di Kampung Sungai Satan, Jeli, kelmarin. – Foto Info Kemalangan & Bencana Malaysia.

Namun adakah perlu juga undang-undang Akta Kanak-kanak 2001 dikuatkuasakan terhadap para ibu bapa yang terbabit dengan kecuaian menjaga anak-anak mereka?

Kita juga khuatir lepasnya kawalan terhadap anak-anak seusia itu turut mudah menjebak mereka ke dalam gejala sosial dan moral lain yang tidak kurang bahayanya seperti dadah, judi, mabuk, zina dan samseng serta jenayah.

Saranan seorang peguam wanita, Nor Zabetha Muhammad Nor dalam portal Free Malaysia Today, semalam, turut menarik untuk dipertimbangkan oleh kerajaan biarpun ada pihak yang mungkin tidak berpuas hati, memperlekehkan dan mengkritiknya.

“Selagi mereka berusia bawah 18 tahun, maka menjadi tanggungjawab ibu bapa atau penjaga, keluarga angkat atau datuk dan nenek.

“Remaja bawah umur itu tidak patut diberikan kebebasan terbabit dalam kegiatan terutama lewat malam. Kadangkala ibu bapa mungkin fikir anak-anak remaja mereka sudah matang dan berikan kebebasan dalam perhubungan, berseronok dan menunggang motosikal tanpa lesen,” katanya.

Menjadi kesalahan menurut Zabetha, jika anak-anak ini diabaikan, dicuaikan atau didedahkan kepada bahaya dan kecederaan fizikal dan emosi, di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

Sesiapa yang didapati jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi penulis selain penguatkuasaan undang-undang, disiplin yang agak tegas dan ketat wajar diterapkan di rumah oleh para ibu bapa untuk dipraktikkan anak-anak mereka dalam kehidupan harian.

Bukan sampai tidak boleh langsung berjumpa kawan-kawan sehingga sentiasa kena berkurung 24 jam tetapi berpada-padalah. Setiap tingkah laku perlulah bersederhana dan berbatasan.

Kalau sampai pukul 3 pagi lebih masih melepak di luar dan ‘merempit’ sehingga mengganggu pengguna jalan raya serta ketenteraman awam, sudah pasti kedua-dua perbuatan ini melampau, wajar dicegah dan ditangani dengan tegas dan setimpal.

Tiada mana-mana ibu bapa pun yang inginkan anak-anak ini, ‘menambah’ statistik Jabatan Penguatkuasaan dan Siasatan Trafik Bukit Aman bahawa, 2,688 kanak-kanak berusia enam hingga 15 tahun terbunuh ketika bermotosikal antara 2009 dan 2020.

Cegahlah sebelum parah. Jangan sampai nasi sudah menjadi bubur.

— BebasNews

Leave a Reply