
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah menyampaikan zakat sebanyak RM2.3 juta kepada 1,997 asnaf, 17 pusat maahad tahfiz dan kakitangan syarikat pengendali konsesi lebuh raya terbesar di Malaysia itu bersempena bulan Ramadan ini.
Zakat berkenaan adalah untuk golongan penerima yang layak termasuk kakitangan PLUS yang terjejas akibat banjir tahun lalu di sepanjang jajaran lebuh raya kendaliannya sepanjang 1,130 kilometer termasuk Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) pada tahun ini.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, “PLUS berharap sumbangan ini memperoleh keberkatan pada bulan yang mulia ini dan sedikit sebanyak dapat memberikan sokongan kepada pihak pengurusan dalam kelangsungan operasi pusat maahad tahfiz berkenaan.
“Penyampaian zakat ini juga selari dengan matlamat PLUS dalam meningkatkan kesejahteraan dan kemakmuran komuniti sepanjang jajaran Lebuh Raya PLUS & LPT2,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menyampaikan zakat berjumlah RM50,000 bagi pihak PLUS kepada lima pusat maahad tahfiz yang terpilih pada majlis berbuka puasa anjuran Pejabat Wilayah Utara PLUS di Bertam, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Madrasah Tahfizul Quran Penanti, Maahad Tahfiz Al-Quran Wal-Qiraat, Pusat Tahfiz Bukit Gantang, Maahad Tahfiz An-Nahdhoh dan Maahad Darul Furqan masing-masing menerima zakat berjumlah RM10,000 yang disampaikan untuk meringankan beban operasi pusat maahad itu yang terkesan akibat pandemik Covid-19 yang panjang.
“Penyampaian zakat ini juga bertepatan dengan matlamat PLUS dalam meringankan beban masyarakat yang kini memasuki fasa peralihan endemik dan menyuntik keceriaan mereka menjelang sambutan Hari Raya Aidlfitri,” katanya.

Kesemua penerima bantuan zakat ini merupakan komuniti yang tinggal dalam lingkungan radius 30 kilometer dari lebuh raya kendalian PLUS, katanya.
— BebasNews

[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.