Noraini (lima dari kanan) sempat meluangkan masa di pameran khas APEL di lobi Parlimen, baru-baru ini.

AGENSI Kelayakan Malaysia (MQA) terus memperkasa agenda pengajian sepanjang hayat (PSH) dengan mempromosi secara langsung inisiatif Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Terdahulu (APEL) menerusi pembukaan reruai di lobi Parlimen.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata pihaknya mahu mempromosikan APEL secara besar-besaran kepada masyarakat dan kali ini khusus untuk ahli parlimen Malaysia, pegawai serta kakitangan di Parlimen.

Katanya, menerusi APEL, masyarakat boleh meningkatkan kelayakan akademik berasaskan pengalaman lampau dan umum sedia maklum ahli parlimen mempunyai pengalaman luas dalam pelbagai bidang bukan hanya dalam politik.

“Pembukaan pameran khas ini merupakan cetusan idea dan inisiatif Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang turut memberikan makluman awal mengenainya kepada ahli parlimen pada satu sidang Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd. Nizar Zakaria antara ahli parlimen yang mengunjungi reruai MQA.

“Pameran ini dapat menerangkan secara langsung kepada ahli parlimen dan pegawai yang bertugas di sini mengenai inisiatif APEL terutama bagaimana pengalaman boleh dinilai tara menjadi kelayakan akademik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di reruai MQA di lobi parlimen, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof. Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari; Pengarah Kanan Pembangunan Dasar dan Kepakaran MQA, Mohamad Dzafir Mustafa dan Pengarah Bahagian Koordinasi dan Rujukan Jaminan Kualiti, Muhamad Amran Zainal Abidin.

Noraini turut berkesempatan meluangkan masa di reruai MQA bertemu dengan pempamer dari empat universiti yang menyertai pameran khas berkenaan iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia, Open University Malaysia, Asia e University dan HELP University.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, MQA juga turut melebarkan insiatif APEL ke luar negara bagi meningkatkan pasaran pelajar antarabangsa untuk menyambung pengajian di Malaysia serta mampu memperkukuh imej pengajian tinggi negara melalui laluan terbabit.

Katanya, selain pasaran domestik, MQA berjaya melebarkan APEL di luar negara dengan kerjasama Emiriah Arab Bersatu, Australia, Hong Kong, Perancis, United Kingdom, India dan negara ASEAN di bawah ASEAN Quality Assurance and Network.

“APEL yang dilancarkan sebelum ini untuk kemasukan ke IPT dikenali sebagai APEL.A (Access), APEL.C (Credit) bagi mendapatkan pindahan kredit serta APEL.Q (Qualification) untuk anugerah kelayakan akademik.

“Diharap masyarakat merebut peluang meningkatkan kelayakan akademik menerusi APEL ini kerana mampu mengembangkan potensi diri seterusnya digunakan untuk memacu kemajuan negara,” katanya. — BebasNews

Leave a Reply