Rubiah Suparman

APABILA sebut nama Rubiah Suparman sudah pasti terbayang di mata kita seraut wajah sayu milik seniwati ini yang sering membawa watak wanita malang.

Wajah sayu dan wanita malang yang sering dilakonkan bukan sekadar mampu membuat para penonton larut dalam kisah sedihnya malah kerana watak itulah telah meletakkan beliau pada tempat yang selayaknya.

Betapa tidak “Dayang Suhana” arahan Aziz Abas terbitan Filem Negara Malaysia pada tahun 1978 yang membawa kisah Dayang Suhana yang diceraikan suami hampir menemui kebahagiaan kedua namun harus menerima kenyataan kerana bakal suaminya adalah saudara sesusuannya.

SATU babak dari filem Dayang Suhana yang telah melayakkan Rubiah Suparman dianugerahkan Pelakon Pembantu Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-2 pada tahun 1981.
RUBIAH Suparman sebagai Dayang Suhana.

Disebabkan kisah sedih dan nasib wanita malang itu yang berjaya dizahirkan dengan baik telah melayakkan beliau menerima anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-2 (FFM2) pada tahun 1981.

Manakala filem ketiga lakonannya “Bila Hati Telah Retak” telah melayakkan Rubiah merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada FFM4 pada tahun 1983.

RUBIAH Suparman dalam satu babak filem “Bila Hati Telah Retak.”

Walaupun telah dua kali merangkul anugerah di FFM namun bagi Rubiah Suparman itu bukanlah ‘ikatan’ untuk beliau meneruskan kerjayanya dalam bidang lakonan.

Setelah membintangi ratusan drama antaranya “Tiga Dara, Sakit Hati, Naik Tangga Turun Tangga dan Mencari Restu” serta sembilan filem dengan yang terakhir “Hati Bukan Kristal” Rubiah meletakkan noktah kepada kerjaya seninya pada tahun 1997 dan menumpukan perhatian kepada rumahtangga dan perniagaannya, Restoran Puteri.

Ironinya biarpun suatu ketika dahulu Rubiah Suparman yang mula menyerlah dalam drama TV kemudian berlakon filem tetapi apabila ditanya pandangannya mengenai drama hari ini tanpa teragak-agak berkata;

“Sejujurnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini saya tidak terpanggil untuk menonton drama tempatan bukan sahaja waktu tayangan tidak sesuai malah jalan ceritanya yang hampir sama malah kalau cerita cinta kadangkala begitu memualkan!

“Bukanlah saya ni pandai berlakon cuma saya perhatikan drama hari ini bukan sahaja ceritanya hampir sama malah pelakonnya juga sama. Kebanyakan ceritanya tidak memberi kesedaran kepada penonton.

“Kisah yang dipaparkan memang membosankan kalau tidak mak mertua jahat mak mertua yang baik, menantu pula berperangai buruk dan kadangkala watak suami yang dipotretkan sebagai terlalu baik bukan sahaja nampak bodoh malah boleh dikategorikan sebagai dayus!”

Menurut Rubiah bukan itu sahaja malah kadangkala pelakon tidak memahami karakter yang dibawakan oleh mereka dan ini bukan sahaja boleh mencacatkan cerita malah memperlihatkan tahap mentali mereka.

“Saya pernah menonton sebuah drama kisah di sebuah kampung tetapi pelakon yang memainkan watak makcik terlalu cantik dengan bulu mata palsu, kuku panjang dan rambut cantik melepasi bahu. Sedangkan realitinya bukan sahaja ‘orang kampung’ malah wanita hari ini apabila sudah berusia mereka lebih selesa bertudung melihatkan ini semua saya tidak tahu nak marah atau ketawa.

DRAMA bersiri Opah yang pernah menjadi fenomena apabila ditayangkan pada tahun 1982.

“Cuba tengok drama dulu-dulu kalau watak orang kampung bermekap pun tidak. Tengok aje drama bersiri Opah yang menjadi fenomena dan cukup popular pada tahun 1982 dan memaparkan kehidupan masyarakat kampung yang begitu dekat di hati kita. Para pelakonnya tidak bermekap apalagi bergincu. Tetapi sampai hari ini kita masih ingat dan suka dengan watak-watak utamanya antaranya Opah, Jenab dan Joyah.

“Tetapi drama hari ini saya tidak boleh terima apabila babak wanita memasak dengan rambut panjang mengurai melepasi bahu! Sebagai pelakon kita bukan menghafal skrip tetapi menghayati dan ‘mengkaji’ watak kita agar ia nampak realistik dan boleh lekat di hati penonton.

“Sebagai pelakon jika pengarah terlepas pandang watak kita, tidak ada salahnya kita beritahu tetapi kalau sentiasa ingin cantik susah juga,” luah Rubiah.

Menurut Rubiah, kisah dan watak-watak yang tidak lojik ini bukan sahaja kita boleh tengok di TV swasta dan TV berbayar malah RTM juga bagai kehilangan punca kerana asyik mengejar rating sampai lupa fungsi sebenarnya drama itu ditayangkan.

Rubiah yang sebelum ini banyak berlakon drama RTM rasa terkilan kenapa ini semua terjadi kerana secara tidak langsung mengalih minat remaja menonton drama luar terutama drama Korea yang bukan sahaja memaparkan pemandangan yang indah malah cerita menarik dan mampu menjentik minda penonton!

“Dalam soal ini bagi saya stesen TV harus bertanggungjawab dalam membawa hala tuju drama bagi memberi satu dimensi kepada drama kita. Tidak salah mengadaptasi novel ke drama tetapi kalau semua stesen TV menggunakan resipi yang sama jangan terkejut jika suatu hari nanti penonton tidak minat menonton drama kita.

“Bukan itu sahaja, malah pihak stesen juga janganlah memilih pelakon main tangkap muat ataupun instafamous yang mempunyai pengikut sampai 1 juta orang tetapi apabila di depan kamera macam patung! Kaku dan tiada penghayatan,” kata Rubiah Suparman.

Menyingkap kembali memori ketika sibuk di set penggambaran drama, Rubiah berkata;

“Ini sekadar saya berkongsi pengalaman saya. Dahulu bagi memastikan penghasilan drama bermutu, sebelum penggambaran bermula para pelakon disyaratkan menghadiri sesi membaca skrip bagi memastikan tonasi dan penghayatan bagi setiap babak para pelakon dalam drama berkenaan.

“Bukan itu sahaja malah para pelakon dipilih oleh pengarah yang memang tahu pelakon berkenaan mampu menjiwai watak mereka bukan main tangkap muat. Tetapi hari ini pelakon itu dipilih mungkin kerana baik dengan penerbit atau pengarah. Saya pernah alami situasi ini bilamana pelakon wanita utama baik dengan penerbit.

“Sepatutnya penggambaran babak beliau dengan saya pagi tetapi beliau hanya muncul waktu petang tanpa meminta maaf kepada kami yang menunggunya. Nak tahu apa jadi, apabila penggambaran dimulakan dengan babak saya menampar pelakon berkenaan saya tampar sekuat hati kerana dia sudah menyusahkan semua yang berada di lokasi,” cerita Rubiah sambil ketawa kecil.

Apabila ditanya apakah beliau bersedia berlakon jika ditawarkan satu watak yang mencabar kredibilitinya sebagai pelakon, Rubiah Suparman yang kini lebih selesa mengendalikan restoran miliknya, Restoran Puteri di Taman Tun Sr. Ismail berkata;

“Setelah 24 tahun saya meletakkan noktah dalam bidang lakonan tidak mungkin saya memadamkannya. Cukuplah pengalaman lalu. Dalam usia begini tiada apa yang saya cari selain ketenangan dalam menjalani kehidupan hari tua saya.

“Sebenarnya saya lebih seronok melayan pelanggan yang datang menjamu selera dan menikmati masakan saya di restoran ini. Saya rasa begitu dihargai apabila mendapat komen dan penghargaan daripada para pelanggan mengenai menu dan masakan kami.”

RUBIAH Suparman bersama Allahyarham suaminya, Zahri Mohd. Nor yang meninggal dunia pada 7 Mac 2020.

Menyentuh mengenai Restoran Puteri di Brickfields yang telah beroperasi selama 37 tahun dan terpaksa ditutup pada 10 Ogos tahun lalu apabila negara dilanda wabak Covid-19, Rubiah Suparman hanya mampu berkata;

“Sayang memang sayang…tetapi sudah itu ketentuan-Nya, saya reda.”

RUBIAH Suparman…seronok menyantuni pelanggan yang menjamu selera di restoran miliknya, Restoran Puteri, di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

Leave a Reply