Antara lokasi penggambaran Tinta Syurga termasuklah di Muzium Kesenian Islam Malaysia.

SEMPENA hari Nuzul Al-Quran ada beberapa negeri di tanah air mewartakan bahawa hari ini (19 April) bersamaan dengan 17 Ramadan sebagai cuti umum.

Nuzul Al-Quran merupakan peristiwa paling istimewa dan bersejarah buat umat Islam seluruh dunia kerana pada hari tersebut Allah S.W.T telah menurunkan mukjizat teragung-NYA iaitu al-Quran kepada Nabi Muhammad S.A.W.

Teknologi dan perkembangan sihat dalam penerbitan dan percetakan al-Quran di Malaysia pada abad ke 21 ini memudahkan naskhahnya diperolehi.

Namun, tahukah anda penghasilannya cukup rumit dan mempunyai cerita perjuangan yang cukup besar?

Untuk mengetahui bagaimana kitab suci itu dihasilkan, jangan ketinggalan untuk menonton dokumentari istimewa Nuzul Al-Quran yang berjudul Tinta Syurga, pukul 9 malam ini di TV3.

Sebelum all-Quran dicetak, kerja-kerja penyalinan ayat-ayat suci al-Quran dilakukan secara manual.

Menerusi dokumentari Tinta Syurga yang berdurasi selama satu jam, penonton berpeluang melihat misi menghasilkan mushaf (naskhah al-Quran bertulis tangan) untuk percetakan al-Quran di Malaysia.

Sebelum all-Quran dicetak, kerja-kerja penyalinan ayat-ayat suci al-Quran sebenarnya dilakukan secara manual menggunakan tangan di atas kertas manuskrip bersaiz A1.

Begitu juga dengan hiasan pada setiap halamannya yang dikenali sebagai seni zukhruf. Inilah antara cabaran misi mereka menghasilkan al-Quran.

Keselamatan Dalam Negeri (KDN) juga turut memainkan peranan besar dalam memartabatkan kesucian al-Quran di Malaysia. Setiap penerbitan dan percetakan al-Quran di Malaysia wajib memperolehi cop kelulusan dari KDN bagi memastikan tiada kalam suci Allah yang cacat dan silap.

Justeru sebuah entiti digelar Lajnah Tashih Al-Quran KDN membawa peranan cukup besar sebagai usaha kerajaan untuk memelihara kesucian ayat-ayat al-Quran di Malaysia.

Dokumentari istimewa ini merungkai bagaimana sejarah awal pengumpulan serta penyalinan wahyu Allah kepada sebuah mushaf sehingga membina tamadun ilmu yang tinggi di dalam dunia Islam.

Produksi mengambil masa selama 14 hari untuk penggambaran bagi menyiapkan dokumentari berdurasi 60 minit.

Penggambaran mengambil masa selama 14 hari bermula pada 25 Februari hingga 14 Mac 2022 yang membabitkan beberapa lokasi seperti di Muzium Kesenian Islam Malaysia, Yayasan Restu, Shah Alam, Nasyrul Quran, Putrajaya, Masjid Al-Badr 1000 Selawat di Pulau Pangkor, Perak, dan Kota Bharu Kelantan.

Dokumentari istimewa ini diterajui oleh Penerbit, Nurul Fariha Onn, diselaraskan oleh Penerbit Penyelaras, Mohd Izzul Iswat Mohd Azman dan Penerbit Eksekutif, Muhammad Amin Yusoff. — BebasNews

Leave a Reply