Zainol Abidin Zakaria (kiri) dan Haikal Zainal Abidin memilih untuk menjual Nasi Ayam Kicap Sambal Hijau.

TIAP kali Ramadan tiba, kita dapat melihat wajah-wajah peniaga baharu di Bazar Ramadan yang mahu mencari rezeki. Tidak dinafikan ada dalam kalangan peniaga bazar ini tiada pengalaman dalam bidang perniagaan, namun demi mencari rezeki mereka tetap mencuba.

Dalam perniagaan terutama makanan, apa yang perlu diambil berat oleh peniaga adalah kualiti makanan yang dijual dengan harga yang berpatutan, Insya-Allah pelanggan akan datang lagi selepas mencuba.

Bagi dua orang sahabat ini, Zainol Abidin Zakaria, 38, dan Haikal Zainal Abidin, 37, meskipun tanpa ilmu dalam perniagaan, mereka tetap menceburi bidang tersebut.

Dua orang rakan sepengajian itu memilih perniagaan berasaskan makanan meskipun sedar persaingan dalam bidang ini juga bukan calang-calang sengitnya.

Sambal hijau yang disediakan bersama nasi ayam kicap ini adalah resipi turun temurun.

Justeru, menu ringkas pilihan ramai, Nasi Ayam Kicap Sambal Hijau menjadi taruhan mereka untuk disajikan kepada semua terutama di bulan Ramadan ini.

Menurut Zainol, pembabitannya bersama Haikal dalam bidang perniagaan memberikan satu lagi perspektif baharu buat mereka berdua untuk terus memajukan diri selain menjadikan ia sebagai jaminan masa depan.

Tambah Zainol, Nasi Ayam Kicap dilahirkan daripada cetusan ideanya apabila melihat menu tersebut antara masakan rumah pilihan ramai dan mudah dimasak.

“Nasi Ayam Kicap yang kami hasilkan boleh dikatakan telah diberikan penambahbaikan dalam resipi seperti penggunaan rempah ratus.

Sesuai untuk keluarga menjamu selera dengan menu ringkas Nasi Ayam Kicap Sambal Hijau di Masok Foodcourt.

“Selain itu kami turut menghasilkan masakan ini dengan bahan-bahan segar yang dibeli setiap hari terutamanya ayam.

“Jadi tiada apa yang lebih menggembirakan saya dan Haikal untuk memulakan perniagaan ini yang pastinya memberi cabaran baharu dan sedia bersaing dengan masakan-masakan tempatan yang lain,” katanya.

Sebelum memulakan perniagaan di gerai jualan yang terletak di Masok Foodcourt, 49, Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru, Kuala Lumpur, Zainol dan Haikal terlebih dahulu membuat kajian corak dan pemilihan menu kesukaan ramai.

“Amat penting untuk kita mengetahui kehendak pelanggan supaya jualan kita dapat memikat hati mereka. Kami ingin popularkan masakan tersebut kembali.

Gerai jualan Zainol dan Haikal terletak di Masok Foodcourt, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

“Untuk Nasi Ayam Kicap jualan kami, sambal hijau yang disajikan bersama makanan tersebut, merupakan ‘senjata’ utama dalam menu itu yang dihasilkan mengguna resipi turun temurun,” katanya tentang rahsia kesedapan masakan Nasi Ayam Kicap jualan mereka.

Selain itu Nasi Ayam Kicap turut disajikan bersama nasi putih, telur mata dan juga timun sebagai ulam.

Dijual pada harga RM12 sepinggan, Nasi Ayam Kicap mula dijual pada pukul 6 petang hingga 12 tengah malam (hari selain Ramadan) dan 3 pagi pada (bulan Ramadan).

Dalam usaha mengembangkan lagi perniagaan sedia ada, mereka dalam perancangan menyenaraikan menu tersebut di dalam perkhidmatan penghantaran Grabfood dan Foodpanda dalam tempoh terdekat ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai Nasi Ayam Kicap, orang ramai boleh ikuti mereka di media sosial Instagram @nak_nasiayamkicap. — BebasNews

Leave a Reply