CARTA undian pusingan kedua Piala FA 2022. - Foto MFL

JUARA 2019, Kedah Darul Aman (KDA) FC bakal menempah pertemuan buku dan ruas dalam pusingan kedua bola sepak Piala FA 2022 yang dijadualkan pada 13 dan 14 Mei ini.

Antara Terengganu FC atau Negeri Sembilan FC, gerangan lawan Lang Merah hanya akan lebih jelas pada 29 April ini kerana perlawanan pusingan pertama itu telah ditunda dari bulan lalu gara-gara Covid-19.

Piala FA tidak dilangsungkan pada 2020 dan 2021 akibat pandemik itu namun kali ini pemenangnya bakal meraih semula slot Malaysia ke Piala AFC 2023.

KDA yang dibimbing Aidil Sharin Sahak menewaskan Perak 1-0, tiga tahun lalu selain menjulang Piala FA terbanyak, lima kali bersama Selangor FC.

Majlis undian pusingan kedua kejohanan kalah singkir kebangsaan edisi ke-32 itu dikendalikan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam, hari ini, lapor MFL dalam Facebooknya.

PIALA FA paling kerap dijulang Kedah dan Selangor.

Undian yang turut mirip buku dan ruas ialah pertembungan jiran Lembah Klang antara Selangor FC dan Kuala Lumpur City FC yang juga juara Piala Malaysia 2021 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, Selangor.

Laluan agak mudah pula menanti juara 2016 yang juga juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC apabila diundi menentang pasukan corot, Sarawak United FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

Selain mendahului Liga Super, JDT kendalian Benjamin Mora kini juga dalam momentum yang meyakinkan setelah membenam Guangzhou FC (China) 5-0 dan Ulsan Hyundai FC (Korea Selatan) 2-1 dalam saingan Kumpulan I Liga Juara AFC 2022.

Sejauh mana kemampuan Perlis United juga bakal dinanti-nantikan ramai pemerhati tanah air apabila kelab tunggal Liga M3 itu melayan kunjungan pasukan Liga Perdana, Kuching City ke Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar.

SELANGOR FC bertembung dengan jiran Lembah Klang, KL City FC di Kelana Jaya. – Foto SFC

Keputusan undian pusingan kedua Piala FA 2022
* Tuan rumah disebut dahulu
Sabah FC lawan Kelantan United FC
Terengganu FC/Negeri Sembilan FC lawan KDA FC
Melaka United FC lawan PJ City FC
Selangor FC lawan Kuala Lumpur City FC
JDT FC lawan Sarawak United FC
Perlis United FC lawan Kuching City FC
Perak FC lawan Penang FC
Sri Pahang FC lawan Projek FAM-MSN

— BebasNews

Leave a Reply