SKUAD Bawah 23 Tahun Malaysia (kuning) gagal ke separuh akhir Kejohanan Bawah 23 AFF di Phnom Penh apabila dua kali ditundukkan Laos. - Foto FAM

KEBANYAKAN negara Asia Tenggara memandang penting Sukan SEA Hanoi 2022, bulan depan malah rela melabur besar dengan menghantar pasukan berlatih di luar negara dan mengadakan perlawanan persahabatan di sana sebagai persediaan.

Hakikat ini didedahkan ketua jurulatih skuad bawah 23 tahun negara, Bradley Maloney yang turut menagih kerjasama kelab-kelab Liga Malaysia melepaskan pemain-pemain yang dipanggil bagi kem latihan pusat menjelang temasya serantau edisi ke-31 itu.

“Ada negara yang sanggup melabur besar malah menghentikan liga seketika bagi persediaan Sukan SEA. Saya rasa para peminat tempatan pun ternanti-nantikan Sukan SEA ini dan berharap pasukan kita dibarisi pemain terbaik.

“Bagi negara-negara lain, Sukan SEA masih satu kejohanan besar buat mereka (terhad kepada bawah 23 tahun dan tiga pemain lebih usia),” kata warga Australia itu dalam sidang media di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, hari ini.

BRADLEY Maloney (dua dari kanan) hanya memiliki segelintir pemain bawah 23 tahun bagi latihan pusat ke Sukan SEA Hanoi kerana saingan Liga Super dan Perdana 2022 masih berjalan. – Foto FAM

Sesi latihan pasukan belia negara bermula malam tadi dengan mereka hanya mempunyai dua perlawanan persahabatan sebagai pemanas badan, menentang Timor Leste pada 29 April ini dan Filipina, 1 Mei di Arena Universiti Malaya, Kuala Lumpur secara tertutup.

Maloney berkata, penyerang berpangkalan di kelab Jepun, Azul Claro – Hadi Fayyadh Razak hanya dapat melapor diri pada 25 April ini manakala Luqman Hakim Shamsudin, 20, dijadualkan berlepas dari KV Kortrijk, Belgium, empat hari kemudian.

Malaysia akan memulakan kempen Kumpulan B Sukan SEA Ke-31 dengan berdepan pemenang pingat emas 16 kali, Thailand pada 7 Mei diikuti Laos pada 11 Mei, Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei) di Stadium Thien Truong, Nam Dinh.

Sementara itu skuad futsal negara pula meletakkan sasaran menaiki podium di antara perak dan gangsa dalam liga sepusingan yang disaingi juara bertahan, Thailand, Myanmar dan Indonesia serta tuan rumah, kata ketua jurulatihnya, Chiew Chun Yong.

THAILAND (kanan) masih disegani sebagai kuasa utama futsal rantau Asia Tenggara. – Foto FAM

“Kami sudah dapat pendedahan ketika Kejohanan AFF di Bangkok, baru-baru ini. Pasukan sudah meningkat dalam satu demi satu perlawanan walaupun tidak layak ke Piala Asia. Pasukan ini boleh berikan tentangan sengit (di Hanoi).

“Jurang besar dengan Thailand memang diakui tetapi pasukan sudah buktikan mampu menyaingi lawan di Bangkok lalu dalam situasi pandemik Covid-19 yang memaksa kami ‘berehat’ dua tahun dari arena antarabangsa,” katanya.

SKUAD futsal Malaysia bakal berentap liga sepusingan dalam Sukan SEA Hanoi dan cuba mempertahankan pingat perak yang dimenangi di Kuala Lumpur 2017. – Foto FAM

Chun Yong berkata, 20 pemain (termasuk 16 dalam Kejohanan AFF) di kem latihan sekarang akan dikekalkan bagi menghadapi Sukan SEA Hanoi kerana kesuntukan masa untuk menguji dan mendapatkan keserasian muka baharu dengan taktikal pasukan.

— BebasNews

Leave a Reply