Roziah (dua dari kiri) dan Sulaiman (dua dari kanan) menunjukkan MoU yang ditandatangani kedua pihak.

SHAH ALAM — Universiti Teknologi MARA (UiTM) menjalin kerjasama dengan syarikat Usahasama Pakar Cerun Sdn. Bhd. (UPCSB) bagi menjayakan bidang penyelenggaraan cerun serta kejuruteraan geoteknik, khususnya dan kejuruteraan awam, amnya.

Menurut Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Roziah Janor, kerjasama tersebut melibatkan Pejabat Jaringan Industri, Alumni dan Komuniti (ICAN), Kolej Pengajian
Kejuruteraan (KPK).

“Kolaborasi ini menawarkan pelbagai inisiatif yang melibatkan rangkaian penyelidikan dan pembangunan produk, perkhidmatan ujikaji sistem dan produk di makmal dan lapangan.

“Selain itu kerjasama kedua pihak melibatkan perkongsian kemudahan peralatan dan maklumat, penempatan pensyarah atau pelajar bagi tujuan latihan industri, peningkatan kaedah pembelajaran serta perkhidmatan latihan pembangunan bagi pensyarah dan kakitangan UPCSB,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini.

Pihak UiTM diwakili oleh Roziah dan UPCSB diwakili Pengerusinya, Raja Datuk Sri Sulaiman Raja Shariff.

Yang hadir sama ialah Penolong Naib Canselor Kolej Pengajian Kejuruteraan, Prof. Sr. Ir. Dr.Suhaimi Abdul Talib dan Ketua Pegawai Eksekutif UPCSB, Lob Muhammad Abdul Shukur.

Roziah berkata kerjasama erat antara UiTM dan UPCSB akan membawa pelbagai solusi alternatif kepada agenda Pelan Induk Cerun Negara 2009-2023, dan bukan hanya terbatas kepada kerja-kerja penyelenggaraan cerun tetapi juga kaji selidik risiko dan bahaya serta pemantauan cerun.

“Dengan termeterainya memorandum ini dilihat akan merancakkan lagi kerjasama dari segi
perkongsian kepakaran dalam bidang pengajaran dan inovasi serta pelaksanaan aktiviti bagi melahirkan modal insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

“Justeru, komitmen padu daripada semua pihak akan menghasilkan lebih banyak lanjutan kerjasama berkualiti dalam bidang berimpak tinggi terutamanya dalam mendepani
cabaran Revolusi Industri 4.0,”katanya. — BebasNews

Leave a Reply