Mesin Pembersih Sungai dihasilkan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

KUALA LUMPUR — Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah berjaya menghasilkan Mesin Pembersih Sungai UMS bagi mengatasi masalah pencemaran sungai yang semakin membimbangkan.

Prof. Madya Dr. Jidon Adrian Janaun

Menurut Penyelidik merangkap Pengarah Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan (PPIP) UMS, Prof. Madya Dr. Jidon Adrian Janaun, mesin tersebut mampu mengaut sampah dan sisa buangan pepejal sehingga 60 liter atau 90 peratus sampah di sungai.

“Penghasilan prototaip mesin ini dimulakan pada tahun 2018 dan disiapkan secara berperingkat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.

“Ia dibina dengan peruntukan universiti sebanyak RM100,000,” kata beliau dalam kenyataannya di sini.

Menurut Jidon, inovasi tersebut merupakan satu sahutan terhadap seruan Kerajaan Negeri Sabah dalam usaha memulihkan beberapa sungai tercemar di kawasan Kota Kinabalu.

Katanya, sekiranya sungai itu dipulihkan ia mampu memberi ruang kepada pelbagai aktiviti yang boleh menjana ekonomi masyarakat setempat selain meningkatkan keindahan dan kebersihan alam semula jadi.

“Projek ini turut mendapat sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah yang turut menyumbang dana berjumlah RM30,000.

“Pada ketika ini, UMS dan kerajaan negeri masih berada dalam peringkat perbincangan untuk lokasi pemasangan dan perincian pembiayaan,” tambah Jidon.

Ujar beliau, jika mesin itu dibina menggunakan bahan aluminium dan besi tahan karat, ia akan mampu bertahan sehingga lima tahun.

“Antara sungai yang dijangka menggunakan mesin ini termasuklah Sungai Darau Manggatal, Sungai Petagas, Sungai Sembulan dan Sungai Putatan,” katanya.

— BebasNews

Leave a Reply