Roziah menyampaikan bubur lambuk kepada seorang kakitangan UiTM Shah Alam.

SHAH ALAM — Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengesahkan seramai 101,000 pelajar universiti tersebut dalam kalangan B40 layak menerima sumbangan komputer daripada pihak kerajaan.

Menurut Naib Canselor UiTM, Datuk Prof.Ts.Dr.Roziah Mohd.Janor, pihak UiTM sentiasa prihatin dengan keperluan alat peranti untuk setiap pelajar bagi membolehkan mereka belajar dengan selesa.

“Isu pensyarah dan pelajar yang tular berhubung masalah peranti telah selesai namun usaha untuk membantu pelajar memiliki komputer tetap diteruskan.

“Senarai nama golongan B40, 101,000 pelajar daripada 140,000 yang layak untuk menerima komputer juga kita telah sediakan. Tiada isu kita tidak membantu pelajar yang tidak memiliki komputer,”katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan bubur lambuk kepada 2000 warga UiTM di sini hari ini.

Media melaporkan 26 Mac lalu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan membuka permohonan kepada semua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), kolej swasta, politeknik atau pelajar kolej komuniti untuk mendapatkan tablet atau komputer riba percuma pada 15 April ini.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, sebanyak 450,000 peranti dijangka diedarkan tahun ini melalui tiga fasa pemberian dengan pengagihan dibuat Jun depan.

Mengulas mengenai istiadat konvokesyen UiTM Jun ini, Roziah berkata, pihaknya berharap ia dapat diadakan secara fizikal memandangkan negara sudah memasuki fasa endemik.

— BebasNews

Leave a Reply