Ternyata pengalaman bekerjasama dengan komposer Eddie Hamid membuatkan Akid lebih berani berhadapan dengan orang ramai.

RAMAI yang berlumba-lumba menerbitkan lagu raya, maklumlah Syawal setahun sekali. Bagi komposer Eddie Hamid, boleh dikatakan setiap kali Ramadan menjelang, dia sudah sibuk memikirkan lagu raya yang nak diterbitkan.

Tahun ini Eddie bakal muncul dengan lagu Moleklah Beraya, bukan seorang diri tapi berkolaborasi dengan penyampai radio Molek FM iaitu Fizie, Mek Zura dan Camelia serta penyanyi dangdut, Rosalinda.

Bukan itu saja, lagu Moleklah Beraya yang liriknya dihasilkan oleh Raden Sri dan Harisz Ab Rahman turut mengundang adik Akid yang baru-baru ini tular menerusi aplikasi TikTok.

Adik Akid atau nama penuhnya Wan Akid Afham Wan Mohd Ruhsemadi, 13, yang tular disebabkan kemiskinan hidup keluarganya telah mendapat perhatian banyak pihak yang sudir menghulur bantuan.

“Kita bukan ambil kesempatan ke atas adik Akid tapi kita prihatin dengan nasibnya. Kita bantunya dengan cara menyanyi. Menyanyi ramai-ramai bolehlah, sebab dia hanya nyanyi beberapa baris saja.

Eddie Hamid tiada niat untuk ambil kesempatan terhadap Akid yang tular di media sosial baru-baru ini.

“Dia merupakan undangan khas untuk lagu Moleklah Beraya. Sebenarnya pengambilan adik Akid untuk tampil dalam lagu Moleklah Beraya adalah cadangan daripada Eddie Hamid Fan’s Club.

“Masa saya dapat tahu daripada Fan Club kisah adik Akid, saya telefon kawan, M.Rozi di Kota Bharu, Kelantan, kata esok nak turun bagi bantuan apa yang patut. Sampai-sampai ke kawasan rumah adik Akid, nampak Ebit Lew dah ada.

“Waktu tu saya tak dapat jumpat Akid sebab dia keluar pergi beli baju raya sebab ramai yang hulur bantuan. Lepas tu saya cakap dengan mak dia, boleh tak saya nak ajak Akid berbuka puasa bersama, sebab tak puas hati bila balik jauh-jauh tak dapat jumpa dengan Akid. Mak dia kata boleh. Masa berbuka puasa tulah, saya beritahu dia, kita nyanyi nak tak untuk tolong Akid.

“Kiranya Akid ni macam adik angkat kepada Eddie Hamid Fan’s Club kerana mereka memang prihatin dengan nasib dia. Budak tu daripada seorang yang muram terus berubah. Lepas kita jumpa dan buat lagu, dia dah jadi mesra dan banyak bercakap. Satu perubahan yang baik untuk dirinya.

“Dia akan muncul dalam Hot Molek Raya Showcase, pukul 4 petang di SACC Mall, Shah Alam pada 23 April ni yang menampilkan penyampai radio Hot FM dan Molek FM. Pada yang nak bertemu dengan adik Akid, jangan lupa datang memberi sokongan kepadanya,” kata Eddie.

Akid diberi peluang merakam lagu Moleklah Beraya bersama Eddie Hamid dan penyampai radio Molek FM.

Bersempena dengan showcase tersebut juga, video muzik Moleklah Beraya akan dimuat naik pada hari yang sama di saluran YouTube Nova Music untuk tontonan ramai.

Selain lagu Moleklah Beraya, Eddie turut tampil dengan lagu raya Boleh Kelik Doh Weii, dendangannya bersama Man Khan dan Aris Kapilla.

“Dulu kita buat lagu Kelik Lah Wei, lepas tu Jangan Kelik Laa Wei dan sekarang kita buat lagu Boleh Kelik Doh Weii. Saya buat lagu ikut situasi semasa. Bila kerajaan umum yang rakyat boleh balik kampung beraya tu yang keluar lagu Boleh Kelik Doh Weii, lagu ni berentak tekno.

“Lagu Boleh Kelik Lah Wei akan dimuat naik di saluran YouTube Nova Music sama tarikh dengan Moleklah Beraya. Cuma lagu Boleh Kelik La Wei, macam lagu-lagu sebelum ini menggunakan loghat Kelantan. Harap anda semua terhibur,” kata Eddie. — BebasNews

Leave a Reply