Foto & Video SYED YUSOF WAFA

KALI terakhir saya bertemu penyanyi ini pada tahun 2011 ketika beliau menyertai kempen Kami Prihatin anjuran Kementerian Wanita dan Keluarga dengan kerjasama Utusan Malaysia dan Astro yang berlangsung di sebuah pusat Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Kami Prihatin adalah kempen untuk membangkitkan kesedaran orang ramai mengenai gejala membuang bayi dan cara mencegah masalah ini.

Waktu itu penampilan beliau masih sama seperti awal tahun 1980an ketika bersama beberapa artis naungan Syarikat Rakaman EMI memberi sokongan moral kepada Sudirman Haji Arshad (Allahyarham) untuk mengadakan persembahan di dewan Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi yang mana akhirnya persembahan itu terpaksa dibatalkan kerana sebab-sebab tertentu.

Tetapi baru-baru ini ketika bertemu beliau pada rakaman program Jalinan Kasih Aidilfitri terbitan Radio Klasik yang akan bersiaran pada Hari Raya Aidilfitri pertama dan kedua di sebuah hotel di pinggir kota, penampilan beliau agak berbeza.

Tampil dengan berkacamata dan berbaju warna kelabu serta berkopiah, beliau begitu ramah ketika menjawab salam dan semasa ditemuramah.

SOHAIMI Mior Hassan… dahulu

Itulah Sohaimi Mior Hassan, 65, penyanyi yang cukup popular dan diminati kerana keunikannya yang tersendiri dan cukup diminati kerana lagu-lagu puisi ciptaannya yang mampu menyentuh hati siapa sahaja yang mendengarnya.

Sebab itu tidak hairanlah walaupun beliau jauh di perantauan ketika album pertamanya “Prolog” diedarkan pada tahun 1981 namun lagu ‘Epilog Cinta Dari Bromley’ mampu meletakkan namanya sebaris dengan artis popular tanahair ketika itu.

Diikuti album “Dedikasi” (1983) dan pada tahun 1985 nama Sohaimi sudah tidak asing lagi bagi para peminat senisuara tanahair apalagi dengan kehadiran lagu “Misteri Cinta” dan “Ros” telah meletakkan Sohaimi Mior Hassan di kelasnya yang tersendiri.

Walaupun ketika itu tugas memisahkan Sohaimi Mior Hassan daripada para peminatnya namun karya seninya telah ‘mendekatkan’ beliau dengan mereka.

Mengimbau kembali zaman kegemilangannya, suami kepada Rosdina Hashim ,65, dan ayah kepada Syaida Syarafina,35, Syaza Sorfina,33, dan Syaima Sabila, 31 tahun, berkata;

“Semasa Epilog Cinta Dari Bromley itu menjadi kegilaan ramai dan menduduki carta teratas dalam lagu-lagu pujaan mingguan di stesen radio di Malaysia dalam tempuh yang lama, saya masih menjalani latihan dalam bidang kejuruteraan di Germany selama setahun kerana ketika album Prolog dilancarkan saya dihantar ke sana. Apabila saya balik dari Germany walaupun lagu itu menduduki tangga keenam tetapi saya tetap bersyukur.

“Biarpun begitu saya tidak mempersoalkannya cuma ketika itu ada yang salah sangka dan menganggap lagu itu tentang kisah cinta saya dan isteri.

“Sebenarnya lagu tersebut bukan tentang saya sebaliknya ketika menjalani latihan selama empat tahun di United Kingdom saya berkenalan dengan pelajar di Universiti Portsmouth dan saya pinjam kisah cinta tiga orang pelajar di sana yang tidak kesampaian.

“Walaupun cinta mereka tidak kesampaian tetapi saya hormati pendirian mereka yang berpegang teguh pada agama. Bagi mereka tiada makna pasangan mahu memeluk agama Islam tetapi tidak mahu mengamalkannya. Bersandarkan rasa hormat terhadap pendirian mereka saya cipta lagu itu untuk mereka.”

SOHAIMI Mior Hassan (kanan, berkemeja hitam) dan Heliza Helmi (kiri, bertudung ungu) menandatangani autograf buat wira dan wirawati Kem PLKN Sri Perkasa, Mantin, Negeri Sembilan ketika menyertai Kempen Kami Prihatin pada 17 Februari 2011.

Menurut Sohaimi Mior Hassan, walaupun beliau tidak berkesempatan mengecapi kegemilangan lagu “Epilog Cinta Dari Bromley” tetapi beliau puashati apa yang ingin disampaikan dapat diterima oleh para peminat lagu berkenaan.

Sohaimi tidak menafikan ‘malu’ dilimpahi cahaya populariti dan lebih suka bersikap ‘low-profile’ tetapi pada waktu yang sama bersyukur apa yang ingin disampaikan tentang kehidupan dapat diterima oleh para peminatnya.

Ditanya bagaimana beliau membahagikan masa antara tanggungjawabnya sebagai Pegawai Waran, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan kariernya sebagai penyanyi, Sohaimi yang pernah mendapat biasiswa dari TLDM (1976-1980) untuk menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan yang menumpukan perhatian kepada radar dan radio di UK berkata;

“Sebenarnya pada tahun 1989 pada usia 30 tahun saya berhenti dari tentera. Pada waktu itu saya menumpukan perhatian pada syarikat saya Tele-Infra Sdn. Bhd. (TTSB) yang mendapat kontrak antaranya PLUS, Ericsson dan Fujitsu.

“Syarikat saya bertanggungjawab keatas pemeriksaan keselamatan merangkumi kejuruteraan awam, struktur, elektrik dan radiasi serta terlibat dalam bidang pengauditan keselamatan pihak ketiga.

“Ketika itu Tele-infra mendapat kontrak bagi melaksanakan audit keselamatan tahunan ke atas semua menara dan struktur komunikasi di beberapa negeri antaranya Perak, Kedah, Melaka dan Johor.”

Bagaimanapun kata Sohaimi, setelah kontrak syarikatnya dengan negeri Johor berakhir pada tahun 2012 beliau terus bersara kerana terlalu letih.

SOHAIMI Mior Hassan bersama
isteri, Rosdina dan tiga cucu mereka (dari kiri) Aqilah Sofis, Maisya Sabila dan Sara Sakinah.

Sohaimi Mior Hassan, datuk kepada tiga orang cucu, Aqilah Sofia, sembilan tahun, Sara Sakinah, enam tahun dan Maisya Sabila, empat tahun, yang bersara awal sebagai Pegawai Waran, TLDM pada usia 30 tahun, apabila ditanya kehidupannya hari ini, dengan tenang berkata;

“Sejak bersara saya duduk di rumah menjaga cucu ketika anak-anak bekerja. Disamping itu, saya juga menulis buku dengan buku pertama Fasa Fasa Kejadian Alam sebanyak empat jilid dan kini dalam proses penyuntingan.

“Alhamdulillah walaupun hampir 10 tahun TTSB tidak aktif kerana anak-anak tidak berminat untuk mengendalikannya apalagi saya bersara sebelum umur 40 tahun dan tiada pencen bulanan tetapi saya bersyukur kerana saya adalah seorang penyimpan dan kehidupan kami sekeluarga amat selesa dan teratur.”

Ketiga-tiga anak beliau sudah berkahwin dan masing-masing mempunyai kerjaya sendiri dengan Syaida Syarafina kini jurutera SIRIM, Syaza Sorfina akauntan di Petronas dan Syaima Sabila bertugas sebagai Pengurus Dana PNB.

ROSDINA Hashim (kanan) bersama anak-anak (dari kiri) Syaza Sorfina, Syaida Syarafina dan Syaima Sabila.

Walaupun kini kehidupan seharian Sohaimi dan isteri, Rosdina diserikan dengan kehadiran tiga orang cucu yang tinggal di rumahnya apabila anak-anaknya bekerja namun minatnya pada dunia seni masih ada.

Buat masa ini beliau telah merakamkan empat lagu iaitu Ramadhan, Seru (berduet dengan Mus May). Sementara lagu Satu Hari (unplugged) dan Misteri Cinta (berduet dengan Ziana Zain) digubah semula oleh Johari Teh.

Ditanya pandangannya mengenai dunia senisuara hari ini, Sohaimi Mior Hassan berkata;

“Penyanyi muda hari ini bukan sahaja berbakat malah kreatif tetapi jika nak cari suara macam Broery memang susah kerana kebanyakan suara mereka lembut.

“Tetapi satu kelebihan masa kini dalam dunia seni yang begitu canggih mereka boleh ‘menjual’ lagu mereka di pelbagai platform digital seperti Spotify, Joox, Apple Music, Itunes, KKNOX, Deezee dan YouTube Music.

“Zaman saya dahulu walaupun banyak lagu nyanyian saya dimainkan di radio tetapi saya hanya mendapat royalti 4 peratus sahaja daripada apa yang syarikat rakaman dapat. Alhamdulillah apabila MACP ada saya pernah mendapat royalti sebanyak RM30,000.

“Saya berharap empat lagu saya yang telah dirakamkan boleh ‘dijual’ di pelbagai platform berkenaan,”‘kata Sohaimi.

Epilog Cinta Dari Bromley

Kau tersenyum manja
Menyatakan hasrat di hatimu
Kau kata kau cinta
Cinta pertama kepadaku
Kuhampir tergoda
Bergelora dalam kalbu
Kau bukan untukku
Kau dan aku tak mungkin berpadu
Nun di sana beribu batu
Kau kutinggalkan bersama hatiku
Nun di sana kau meratap pilu
Satu masa nanti
Kau akan mengerti
Apa maksudku
Kini kau menanti
Harapanmu abadi terhadapku
Kau coretkan lagi
Rahsia hatimu kepadaku
Kudoakan dikau
Bertemu seorang teman sejati
Yang satu aliran
Satu kepercayaan
Aduhai Kathy
Nun di sana beribu batu
Kau kutinggalkan bersama hatimu
Nun di sana kau meratap pilu
Satu masa nanti
Kau akan mengerti
Apa maksudku
Kini kau menanti
Harapanmu abadi terhadapku
Kau coretkan lagi
Rahsia hatimu kepadaku
Kudoakan dikau
Bertemu seorang teman sejati
Yang satu aliran
Satu kepercayaan
Aduhai Kathy
Aduhai Kathy

Penyanyi: SOHAIMI MIOR HASSAN
Lagu dan Lirik: SOHAIMI MIOR HASSAN

– BebasNews

Leave a Reply