Excited young diverse men and women taking selfie on rooftop
Photo by Kampus Production on Pexels Gambar hiasan
Oleh Muhd. Nur Iman Bin Ramli
(Eksekutif Persidangan, IAIS Malaysia)

KEINGINAN untuk dikenali dan dihargai kelihatan semakin membara dalam arus dunia digital. Pelbagai cara mempromosi diri dilakukan terutamanya menerusi media sosial, menggunakan kaedah ‘pemasaran diri’ terhormat mahu pun murahan. Bagi yang sudah mencapai kemasyhuran, keinginan agar diri diingati sampai bila-bila mungkin menjadi isu penting dalam diri mereka. Orang politik, orang bisnes, orang seni atau sesiapa sahaja pasti memahami perkara ini. Semua mahu meninggalkan legasi dan diingati kerana kebaikan, dan bukannya kesalahan yang dibuat semasa hidupnya.

Semasa hayatnya, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee mengatakan beliau akan hidup 1000 tahun lagi melalui filem-filem dan lagu-lagunya. Ia ternyata menjadi kenyataan, apabila beliau ‘tetap hidup’ dalam pelbagai peranti canggih dalam era digital 24 jam sehari, lebih meluas dari hanya panggung-panggung atau di piring-piring hitam yang ada dalam fikirannya ketika itu. Selagi ada sambungan Internet dan dunia belum kiamat, kemajuan teknologi digital mampu menawarkan ‘hidup selama-lamanya’ di Internet.

Hakikatnya, semua yang hidup pasti mengalami kematian. Namun ada golongan manusia tidak bertuhan begitu obses dengan sains dan mula mengikhtiarkan ‘penawar’ kepada mati, seperti para saintis tertentu yang mengusahakan muat-naik minda dan kesedaran manusia (mind uploading) ke internet dengan bantuan teknologi kecerdasan buatan (AI). Seperti dipaparkan dalam filem cereka sains ‘Transcendence’ (2014) dan ‘Chappie’ (2015), orang mati boleh terus hidup dalam bentuk digital di dunia siber, bahkan berkemampuan melakukan ‘keajaiban-keajaiban’ teknologikal tertentu persis Tuhan. Setakat ini, teknologi ini masih kekal dalam fiksyen sains. Jika berjaya dilakukan sekali pun, ia hanyalah salinan fizikal otak dan keadaan mental si mati, dan bukannya roh yang mana menjadi urusan Tuhan semata-mata.

Setakat kemajuan teknologi hari ini, orang yang sudah lama mati boleh ‘dihidupkan semula’ dengan wajah, suara dan karakter semasa hidupnya hasil janaan teknologi AI. Sebagai contoh, Metaverse yang sedang giat dibangunkan bakal memberi pengalaman dunia internet 3D di mana manusia boleh berinteraksi, berbisnes dan bersosial dalam bentuk ‘avatar’. Teknologi media sintetik ‘deepfake’ juga mampu menggantikan imej atau video seseorang ke atas imej dan video orang lain.

Tokoh politik atau agamawan silam contohnya boleh ‘dihidupkan semula’ dalam bentuk avatar dan deepfake, kembali memberi inspirasi, tunjuk ajar dan tidak mustahil juga menyesatkan.

‘Hidup selamanya’ di alam siber tidak melibatkan roh seseorang berlegar di Internet, tetapi hanyalah kesan hidup atau legasinya dalam bentuk kandungan media digital. Apabila seseorang memuat-naik foto, video, artikel atau status ke media sosial, dia sedang kongsikan dirinya dengan ratusan atau mungkin ribuan kenalannya. Setelah meninggal dunia, kesemua bentuk data itu masih boleh diakses sekiranya akaun media sosialnya tidak dinyahaktif, atau kandungan digital itu sudah tular. Kandungan yang baik mampu menjadi punca amal jariah berpanjangan. Pun begitu, legasi kurang baik di Internet pula dikhuatiri menjadi punca dosa berterusan.

Jika kita ingin kekal diingati, dihargai atau ‘kekal selamanya’ di dunia digital, mungkin soalan perlu ditanyakan adalah kenapa kita menginginkannya? Jika kita menginginkan amal jariah berterusan terutamanya daripada aktiviti media sosial, maka seharusnya kita memilih untuk memuat-naik kandungan yang baik-baik semasa hayat, seperti perkongsian status, video atau audio yang mengajak ke arah kebaikan. Semestinya ia akan memberi manfaat kepada diri sendiri dan sesiapa sahaja yang punya akses kepada kandungan tersebut. Kita mencemburui tokoh-tokoh qari al-Quran dan muazzin yang telah meninggal dunia, tetapi alunan suara mereka masih boleh didengari dan dihayati dalam peranti-peranti moden, seolah-olah mereka masih hidup lagi.

Jika yang dimuat-naik adalah koleksi foto mengghairahkan, status menyesatkan, menghina, memfitnah atau video-video jelek sendiri atau orang lain, ia dikhuatiri akan menyalurkan dosa kepada si mati, selagi ada yang like, comment, share atau download. Sebelum memuat-naik sebarang kandungan ke Internet, mungkin kita perlu memikirkan sejauh mana kita berupaya menarik balik kandungan-kandungan tertentu dari dunia siber. Semakin tular, semakin pasti ia tidak dapat diundur atau ditarik balik dan akan kekal abadi di Internet.

Kita terdedah dengan pelbagai mehnah dunia digital dan ramai yang telah terpesona dengan ilusi yang ditawarkannya, sehingga secara sedar atau tidak, kita telah meninggalkan legasi dan jejak yang berterusan dosanya di sisi Tuhan. Facebook memiliki 2.9 bilion pengguna di seluruh dunia.

Pada hari-hari biasa, 350 juta foto dimuat-naik ke Facebook.

Instagram memiliki lebih kurang 1 bilion pengguna dengan 35 juta gambar swafoto dimuat-naik ke platformnya setiap hari, bermaksud lebih kurang 400 foto setiap saat. Twitter mempunyai 330 juta pengguna aktif bulanan di seluruh dunia, dengan jumlah 400 juta ciapan sehari. Manakala jumlah pengguna aktif bulanan TikTok adalah lebih kurang 1 bilion, dengan sejuta tontonan video dalam sehari. YouTube mempunyai 122 juta pengguna aktif setiap hari, dengan jumlah tontonan kandungan videonya mencecah 1 bilion jam sehari. Angka beratus juta bahkan berbilion pengguna dan kandungan digital ini memberi gambaran betapa manusia sudah menyatukan dengan teknologi dalam sistem mega ‘Data Raya’ (Big Data). Meninggalkan kehidupan digital bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan, walhal selepas mati.

Jika ditanya, sudah pasti kita mahu dikenang dan diingati kerana kebaikan selepas meninggal dunia. Apalah gunanya menginginkan kemasyhuran, tular dan ‘hidup selama-lamanya’ di alam digital, tetapi tidak membawa keuntungan, bahkan mendatangkan bencana di alam barzakh dan akhirat. Allah SWT berfirman bahawa setiap amalan dilakukan manusia akan dinilai dengan adil di sisi-Nya, tidak kira walau sebesar mana atau sekecil zarah sekali pun, seperti firman-Nya dalam surah al-Zalzalah ayat 7-8. Justeru berhati-hatilah dengan apa yang kita kongsi atau tinggalkan di media sosial atau dunia digital amnya.

(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)

— BebasNews

Leave a Reply