Temui Noraniza di Adhoc Raya 2022, WTCKL pada 29, 30 April dan 1 Mei ini, bermula pukul 10 pagi hingga 3 pagi untuk membeli muruku Che Ani.

DALAM kesibukan kerjaya sebagai artis, penyanyi Noraniza Idris yang digelar Ratu Etnik Irama Malaysia, masih sempat memikirkan aktiviti tanggung jawab sosial bersama masyarakat.

Atas rasa tanggungjawab itulah menerusi Noraniza Idris Production Ventures dengan kerjasama PIBG SK. Puchong Utama dan Musolla AR- Raudhah, seramai 100 orang anak-anak asnaf dari SK Puchong Utama telah menerima sumbangan dalam majlis Iftar Amal Ihya Ramadan 2022 yang diadakan di Dataran Putrajaya, baru-baru ini.

Selain itu, majlis tersebut juga bertujuan untuk menggerakkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) dengan membantu menyediakan platform jualan dan promosi untuk usahawan terlibat.

Menurut Noraniza, setiap usahawan berpeluang memperkenalkan produk menerusi khidmat kongsi rezeki dengan hanya menghantar produk mereka yang akan dijual dan dipromosikan di sepanjang Ramadan ini.

Noraniza bakal memasuki studio selepas raya untuk rakaman lagu baharu bersama penyanyi undangan.

Berkat dari usaha ini, Noraniza juga telah mengambil peluang untuk memperkenalkan produk makanan tradisional pertamanya iaitu Che Ani Produk Premium berasaskan muruku yang telah mula dipasarkan bermula 1 April lalu.

‘’Sepanjang diperkenalkan secara kecil-kecilan, produk Muruku Premium Che Ani telah mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan. Ramai penggemar muruku berminat menjadi wakil jualan atau ejen seiring dengan kempen 1 Ejen : 1 Daerah yang Kak Ani perkenalkan,” katanya.

Seiring dengan itu, Noraniza turut mempelawa usahawan-usahawan IKS untuk bersama-sama mempromosikan produk jualan mereka di booth Che Ani sewaktu majlis iftar berlangsung.

Kata Noraniza, peluang berhimpun dalam sebuah program amal ini telah lama dinanti-nantikan.

“Pandemik global yang melanda dunia banyak memotivasikan Kak Ani untuk terus memandang dari sudut positif dengan mempelajari sistem perniagaan secara dalam talian selain menjalankannya secara fizikal.

“Aktiviti ini akan diteruskan selepas hari raya nanti untuk jangka panjang dalam Siri Jelajah Akar Kita Zapin 2022 yang akan bermula di Zon Utara pada 20-22 Mei 2022 di AEON Mall Bukit Mertajam Pulau Pinang,” jelasnya yang sudah 36 tahun dalam industri muzik tempatan dan terus berusaha mempelbagaikan kerjaya sebagai jaminan masa depan ke arah bidang keusahawanan.

Noraniza Idris ambil peluang melakukan kerja kebajikan sempena Ramadan ini.

Malah pada 29, 30 April dan 1 Mei ini Noraniza akan berada di aras 2, Hall 4, WTCKL bermula 10 pagi hingga 3 pagi sempena acara Adhoc Raya 2022 untuk menjual muruku keluaran Che Ani.

Mengulas tentang single rakaman hari raya, biarpun tidak ada single raya baharu, Noraniza mengajak peminat untuk mendengarkan lagu Cinta Lebaran nyanyiannya bersama Ihab Ismail dan Azmir Ariff yang diedarkan secara digital di bawah Luncai Emas Sdn. Bhd., pada tahun lepas di saluran YouTube Luncai Emas.

Selepas Ramadan, Noraniza yang sebelum ini berkolaborasi dengan Bunga menerusi lagu Intan Payung bakal merakam single baharu dengan seorang artis undangan yang akan diumumkan tidak lama lagi.

‘’Struktur melodi ini sememangnya sangat sesuai dengan konsep dan vokal artis ini untuk berkolaborasi bersama Kak Ani. Pihak Kak Ani akan membincangkannya dengan Luncai Emas sebagai penerbit bersama,” katanya. — BebasNews

Leave a Reply