SETIAP pasangan suami isteri pasti mendambakan cahaya mata sebagai pelengkap rumah tangga mereka. Begitu juga pelakon, Putri Najuwa yang nekad untuk melakukan Prosedur Permanian Beradas (IUI) bagi mendapatkan cahaya mata.

Putri Najuwa yang sudah empat tahun mendirikan rumah tangga dengan Mohd Zaid Samsuri, 38, mahu melakukan kaedah IUI ini pada tahun ini juga.

“Sebenarnya dah dua kali saya keguguran ketika kandungan sudah berusia sebulan. Kandungan pertama saya gugur pada bulan September tahun lepas dan kali kedua pada Februari lalu. Sedih juga pada mulanya kerana benda yang dah lama tunggu tiba-tiba jadi macam tu. Mungkin tak ada rezeki lagi agaknya.

“Sedih tu jangan cakaplah. Tapi saya dan suami redha. Bagi saya apa yang terjadi semuanya perancangan Allah dan saya sentiasa berfikiran positif. Menurut doktor, rahim saya tidak kuat untuk mengandung secara normal. Itu sebabnya saya rancang nak buat IUI juga selepas Hari Raya ini.

“Kata doktor saya boleh mengandung hingga umur 36 tahun, itu sebab saya kena cepat buat IUI ini dalam tahun ini juga,’’ kata Putri Najuwa yang mengimpikan untuk mempunyai 3 atau 4 orang anak.

Putri Najuwa atau nama sebenarnya ,Tengku Putri Najuwa Tengku Yusof, 35, kini semakin ayu sejak tampil dengan imej berhijab pada November tahun lepas.

“Mula-mula bertudung, saya ambil masa sejam untuk melilit tudung. Bila dah siap lilit, saya rasa pipi saya terkeluar dan macam-macam perasaan pada waktu itu. Saya juga belajar daripada youtube cara memakai tudung. Tapi kini alhamdulillah, saya semakin mahir mengenakan tudung.

“Setiap hari adalah cabaran untuk saya. Tapi syukur Alhamdulillah, kerana semuanya dipermudahkan. Sebenarnya, suami ada juga bagi ‘hint’ supaya saya bertudung. Namun saya dah katakan pada suami perkara ini tidak boleh dipaksa kerana takut saya buka tudung semula nanti,” katanya yang kini sedang mengikuti asasi pengajian Islam di Yayasan Ta’lim.

Putri Najuwa (kiri baju hitam) sebagai jurucakap Royale Kukur.

Pelakon drama bersiri Dawai Kasih dan Waris Kasih ini ditemui di Majlis Ihya Ramadan meraikan anak-anak yatim dan asnaf bersama Royale Kukur x Putri Najuwa anjuran Pertubuhan Amal Bakti Se-Malaysia bersama kawasan rukun tetangga (KRT) PPR Intan Baiduri & Syarikat Impian Ramai F&B Sdn Bhd baru-baru ini.

“Sebagai jurucakap Royale Kukur, sepanjang bulan puasa ini, fokus saya untuk mempromosikan produk berasaskan cendawan kukur milik syarikat ibu saudara saya. Saya juga berbangga kerana produk ini menerima anugerah di Asean Food & Travel Awards 2022 sebagai pengeluar produk cendawan kukur yang pertama di Malaysia,” ujar Putri Najuwa lagi. — BebasNews

Leave a Reply