APABILA menyebut nama Seniwati Datuk Dr. Hajjah Sarimah Ahmad pasti terbayang di mata kita seraut wajah polos dan cantik yang dimilikkinya dan pernah menyerikan dan mewarnai zaman kegemilangan filem Melayu pada tahun 1961-1970.

Bermula dengan filem “Ali Baba Bujang Lapok” pada tahun 1961 ketika usianya 19 tahun, Sarimah telah membintangi lebih 30 buah filem dan dua drama serta dua telemovie antaranya Takbir Suci pada tahun 2008.

Sepanjang penglibatannya sebagai Primadona Filem Melayu, Sarimah pernah dianugerahkan Pelakon Wanita Terbaik melalui filem “Dia Ibuku” pada Festival Filem Malaysia ke-2 pada tahun 1981.

Sebelum itu pada tahun 1970 melalui lakonannya dalam filem “Gelora,” Sarimah dinobatkan sebagai Aktress Terbaik pada Festival Filem Malaya pada 1966.

Bagaimanpun filem lakonannya, “Ibu Mertuaku” terbitan tahun 1962 arahan Tan Sri P. Ramlee (Allahyarham) yang mengisahkan Sabariah anak gadis, Nyonya Mansoor yang kaya bercinta dengan penyanyi Kassim Selamat dan “Dayang Senandong” yang diterbitkan pada tahun 1965 adalah diantara filem yang dekat di hati para peminatnya sehingga hari ini.

SARIMAH bersama Allahyarham seniwati Normadiah dan K. Fatimah dalam satu babak filem “Ali Baba Bujang Lapok”

Sarimah Ahmad yang dilahirkan di Pulau Rusa, Pekan, Pahang dan merupakan seorang pelajar yang bijak ketika bersekolah dan bercita-cita menjadi doktor terpaksa melupakan impiannya kerana kesempitan hidup. Beliau menceburi bidang lakonan pada usianya 19 tahun setelah melahirkan anak pertama, Norhayati.

Biarpun begitu anak kepada Allahyarham Haji Ahmad Haji Aris dan Allahyarham Hajjah Bibah Lingga dan ibu kepada enam orang anak iaitu tiga perempuan dan tiga lelaki daripada dua perkahwinannya tidak pernah menyesali takdir yang telah ditentukan dalam hidupnya.

Hari ini pada usianya mencecah 80 tahun, entah di mana silapnya Sarimah lebih senang menyepikan diri dari dunia seni meskipun ada yang cuba membawanya semula ke dunia glamor yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupannya.

 

SARIMAH Ahmad bersama anaknya, M. Jamil yang pernah menceburi bidang lakonan.

Sarimah yang kini menetap di Subang Jaya bersama anak kelimanya, Yusarima Puteri Yusof dan suaminya, Syed Mahdi Syed Faozi Barakbah dan empat orang anak mereka, ketika dihubungi dan bertanya impian dan kehidupannya hari ini, berkata;

“Syukur alhamdulilkah kerana saya masih diberi kesempatan bernafas sehingga hari ini. Pada usia yang semakin banyak tetapi hidup yang semakin pendek tidak ada apa yang saya cari hanyalah keredaan Allah.

“Hidup dan mati kita Allah yang tentukan. Apabila sampai saat dan ketikanya tidak ada apa yang boleh menghalang. Sebelum sampai saat itu, apa yang saya mampu melakukan hanyalah mencari bekalan saya di akhirat.

“Saya tidak pernah menyesal menjalani hidup sebagai seorang muflis di dunia ini. Tetapi saya sentiasa berdoa agar saya tidak bankrap di akhirat nanti.”

Menurut Sarimah, walaupun sejak 12.01 minit tengah malam tadi beliau tidak henti-henti menerima ucapan selamat hari lahirnya yang ke-80 tahun daripada saudara mara, para peminat setia anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicitmya agar beliau dianugerahkan kesihatan yang baik namun apa yang diharapkan ketenangan hidup dalam meniti ke penghujung usianya.

Sarimah, ibu kepada enam orang anak, Norhayati, Farahwaheeda, M. Jamil, Shahray, Yusarima Puteri, Yusari Amer, 35 cucu dan 25 cicit apabila ditanya kebahagiaan hidupnya hari ini;

SARIMAH (berdiri lima dari kanan) bersama anak-anak, 35 cucu dan 19 daripada 25 cicit.

“Selain diberi peluang menjalankan kewajipan sebagai seorang muslim apa yang membuat saya bersyukur anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicit berjaya dalam kehidupan mereka tanpa lalai dalam menjalankan kewajipan mereka sebagai seorang muslim.

“Tidak ada apa yang mampu saya lakukan selain bersyukur kepada-Nya kerana tiga cucu saya menjadi doktor dan enam cucu lagi adalah jurutera yang berjaya.

“Saya bersyukur pernah suatu ketika ada yang memandang serong pada kerjaya sebagai pelakon tetapi bagi saya minyak dan air tidak akan bercampur.

“Saya berlakon untuk mencari rezeki yang halal demi anak-anak. Namun apabila di rumah saya adalah ibu yang harus bertanggungjawab membesarkan mereka dan memberi pelajaran yang sempurna.”

Sarimah yang merupakan satu-satunya primadona Studio Jalan Ampas yang masih ada di Malaysia ketika ditanya mengenai zaman kegemilangannya dahulu berkata;

“Sememangnya hidup anak seni suatu waktu dahulu nampak gah tetapi hakikatnya tidak seindah yang disangkakan. Walaupun bayaran dan gaji yang kami terima tidak sepadan namun apa yang mampu kami lakukan bersyukur dengan rezeki anugerah-Nya.

“Cuma saya terkilan filem-filem lakonan kami yang masih ditayangkan di stesen TV terutama di Astro kami tidak pernah mendapat apa-apa imbuhan walaupun sesen pun.

“Sebagai anak seni saya tidak berharapkan ribuan ringgit daripada sesebuah filem saya yang ditayangkan tetapi sekurang-kurangnya penat lelah kami dihargai.

“Saya yakin pihak FINAS dapat membantu agar kami orang filem dihargai. Janganlah seperti kata peribahasa kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.”

SARIMAH Ahmad pernah menulis buku “PETUA KECANTIKAN DARIPADA DATO’ SARIMAH AHMAD
LUAR & DALAM”

Apabila ditanya apakah beliau pernah menerima sebarang penghargaan khas sebagai
menghargai sumbangannya dalam industri filem Melayu sejak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia ( FINAS) ditubuhkan pada 21 Julai 1980 sambil ketawa kecil Sarimah berkata;

“Saya tidak pernah dan tidak mengharapkan apa-apa anugerah daripada FINAS kerana siapalah saya pada mereka. Cuma saya terkilan seringkali mengikuti di TV apabila seorang seniman, seniwati atau wargaseni meninggal dunia akan terbitlah berita yang menyebut ‘Hari ini kita kehilangan sebutir bintang…’

“Bagi saya sebagai orang seni untuk apalah mereka dihargai setelah tiada sedangkan sewaktu hayat mereka tidak dipedulikan.

“Namun begitu saya bersyukur kerana hidup saya sentiasa dihargai oleh anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicit. Harapan saya semoga Allah sentiasa memberkati hidup saya. Biarlah manusia tidak memandang saya tetapi Allah menerima saya,” kata Sarimah penuh makna.

– BebasNews

Leave a Reply