JIKA artis lain hampir menjelangnya Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi sibuk membuat persiapan tetapi tidak bagi penyanyi yang tidak asing lagi, Zaiton Sameon.

Minggu lalu beliau dengan ditemani anak angkat yang juga pembantu peribadinya, Ikah Ismail dan Syed Yusof Wafa Syed Nordin Wafa berulang alik ke Studio milik komposer Fatah Hassan Said atau lebih dikenali Belle Fatah di Damansara Damai.

ZAITON Sameon bersama anak angkat yang juga pembantu peribadinya, Ikah Ismail yang
menemani ke mana sahaja beliau pergi.

Bagi Zaiton Sameon apa yang dilakukan semuanya bersebab kerana beliau bukan sahaja tidak mahu mensia-siakan peluang yang diberikan oleh pemilik De Media And Entertainment, Syed Yusof Wafa malah dalam suasana hari ini beliau mahu membuktikan bidang seni suara bukan sahaja milik artis muda yang berbakat dan sedap mata memandang, malah dengan izin-Nya, artis sepertinya juga boleh meraih semula kejayaan yang pernah dikecapi suatu waktu dahulu.

“Bagi saya, peluang yang diberi Syed Wafa tidak harus diambil mudah apalagi ini bukanlah pertama kali beliau memberi saya peluang merakamkan single dalam keadaan hari ini tidak ada yang ‘sudi memandang saya.’

ZAITON Sameon dan Syed Yusof Wafa berbincang mengenai lagu single yang digubah oleh Belle Fatah (duduk) di studio milik komposer berkenaan di Damansara Damai.

“Pada tahun 2015, Syed Wafa sanggup membelanjakan lebih RM10,000 untuk menerbitkan single pertama saya ‘Rindu Pelukan Bonda.’ Bagaimanapun mengenali beliau memang berbakat dan mempunyai latarbelakang dalam bidang muzik saya mengajaknya berduet. Lirik lagu tersebut ditulis oleh Siso dan Syed Wafa dan diterbitkan oleh komposer yang tidak asing lagi, S. Atan.

“Kali ini saya diberi peluang lagi untuk merakamkan single dan berharap lagu ini dapat diterima oleh para peminat saya. Syed Wafa dan saya sudah mendengar muzik gubahan Belle Fatah dan kami yakin ia mampu mengulangi kejayaan Menaruh Harapan,” kata Zaiton Sameon penuh yakin.

SAHABAT baik…Syed Yusof Wafa
dan Zaiton Sameon.

Menurut Zaiton Sameon, beliau sedar selepas kemalangan pada 21 Februari 1990, ia benar-benar memberi tamparan hebat dalam kehidupan dan kerjayanya.

“Saya bukan sahaja kehilangan anak tunggal, Azirwan (Irwan) Abu Bakar ketika berusia 13 tahun, malah kerjaya saya. Sebelas tahun lamanya (Februari 1990 – Julai 2001) saya mengalami gangguan emosi dan hidup saya terumbang ambing dan tidak boleh meneruskan kerjaya saya.

“Walaupun selepas itu saya kembali memenuhi undangan menyanyi tetapi ia tidak mampu mengembalikan zaman kegemilangan saya. Namun saya tidak pernah putus asa,” akui Zaiton Sameon penuh jujur.

Menurut Zaiton Sameon, beliau amat bertuah mempunyai sahabat yang ikhlas seperti Syed Wafa yang sentiasa berpandangan positif dan yakin dengan bakatnya.

“Sepatutnya single ini diterbitkan oleh A.Ali tetapi tidak ada ‘jodoh’ kami kerana A. Ali meninggal sebelum rakaman dapat dilaksanakan,” kata Zaiton Sameon.

Adalah difahamkan pada akhir 2018, satu perbincangan antara A.Ali (Allahyarham) dengan Syed Wafa telah diadakan dan komposer yang telah membantu mempopularkan nama Zaiton Sameon dengan lagu “Menaruh Harapan” pada tahun 1987 bersetuju untuk menerbitkan single penyanyi berkenaan.

Bukan itu sahaja, malah De Media And Entertainment (syarikat milik Syed Yusof Wafa) telah membayar lebih RM10,000 untuk menerbitkan satu single dan satu lagu duet.

Bagaimanapun disebabkan jadualnya yang ketat kemudian pandemik Covid-19 rakaman terpaksa ditangguhkan. Dan sebelum rakaman dapat diteruskan A.Ali meninggal dunia dalam tidur pada 20 November 2020.

SELEPAS kemalangan di Batang Kali, Zaiton Sameon bukan sahaja kehilangan anak dan harta malah suaranya juga terjejas selepas koma selama 83 hari.

Menyingkap kembali kemalangan di Jalan Kuala Lumpur – Ipoh dekat Batang Kali yang meragut nyawa anak tunggalnya dan pemuzik pengiring, Ismail Shaari pada 21 Februari 1990 apabila van yang dinaikki dilanggar lori, Zaiton bukan sahaja kehilangan anak dan kerjaya seninya malah semua harta yang dimilikki seperti wang simpanan dan rumah tiga tingkat miliknya yang dibeli secara tunai hilang dalam sekelip mata.

“Kalau diingat balik memang sedih kerana harta yang saya kumpul sepanjang menjadi penyanyi kelab malam dan artis rakaman demi masa depan saya dan anak, hilang dalam sekelip mata. Semua itu hilang semasa saya koma selama 83 hari.

“Tetapi lama kelamaan saya reda dan bersyukur kerana saya yakin Allah mahu beri saya peluang untuk kembali ke pangkal jalan.

“Saya amat bersyukur kerana ditemukan seorang insan sebaik Syed Wafa yang tidak pernah mengambil kesempatan terhadap saya sebaliknya sentiasa membantu.

“Insyaa-Allah peluang yang diberi dan sokongan daripada Syed Wafa saya yakin single dengan lirik Datuk Habsah Hassan dan lagu gubahan semula Belle Fatah mampu mengulangi kejayaan Menaruh Harapan,” ujar Zaiton Sameon.

Zaiton yang telah beberapa kali berlatih di studio Belle Fatah yang terletak di Damansara Damai yakin ia bukan sahaja tidak akan menghampakan Syed Wafa malah para peminatnya.

Selain sibuk berlatih lagu barunyanya, pihak Astro turut mengundang Zaiton Sameon menyertai program Konsert Semangat Lebaran.

Rakaman program itu telah diadakan pada Isnin. Dalam Konsert Semangat Lebaran, Zaiton berduet dengan Khai Bahar dalam lagu “Kabut Serangkai Mawar.” Manakala Ernie Zakry menyanyikan lagu “Menaruh Harapan” di hadapan Zaiton Sameon. Persembahan mereka diiringi petikan piano.

Bercakap mengenai program tersebut Zaiton yang akan pulang ke kampungnya di Rembau, Negeri Sembilan untuk menziarah pusara anaknya, Irwan pada Ahad ini, berkata;

“Saya bersyukur dan amat berterima kasih kepada Astro kerana masih menghargai bakat saya ini.”

Saya lakukan demi silaturrahim – Syed Wafa

Sementara itu, Syed Yusof Wafa apabila ditanya mengenai sikap prihatinnya terhadap Zaiton Sameon, penyanyi yang pernah meraih populariti dengan “Menaruh Harapan” lagu yang menceritakan mengenai perjalanan hidupnya yang beronak duri, berkata;

“Saya lakukan semua ini bukan untuk mencari keuntungan tetapi demi silaturrahim dan menghargai nilai sebuah persahabatan. Saya mengenali Zaiton bukan hari ini atau semalam tetapi saya sudah mengenali beliau selama 34 tahun selepas saya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia semasa show pertama beliau di Kuala Kangsar, Perak. Selepas show itu beliau datang ke rumah mak saya di Bukit Chandan dan saya sama-sama membantu beliau mengira bayaran show funfare yang beliau terima sebanyak RM2,000 (kebanyakannya duit siling dan wang kertas seringgit) beliau berkongsi nombor telefon rumah tiga tingkat miliknya di Taman Melawati.

“Bayangkan saya mengenali Zaiton pada zaman kegemilangannya. Ketika itu beliau sihat dan diminati ramai. Walaupun apabila saya telefon beliau jarang menjawab panggilan kerana sibuk dengan show tetapi sesuatu yang pasti beliau akan telefon saya semula.

“Ketika saya baru sampai Kuala Lumpur saya sanggup naik Bas Mini untuk melihat persembahannya di Panggung Anniversary, Tasik Perdana dan dia memang hebat! Melihat Zaiton sihat dan lincah ketika di pentas tiba-tiba mendapat berita beliau kemalangan dan koma, saya sedih sangat kerana beliau yang sebelum ini diibaratkan bagai permata seni kini dipandang bagai kaca yang tidak berharga.

“Bukan itu sahaja, malah ada segelintir wartawan hiburan yang tidak mahu menemuramah Zaiton Sameon kerana menganggap zaman beliau telah berlalu!”

Menurut Syed Yusof Wafa, menyedari bakat Zaiton beliau tidak teragak-agak mengeluarkan lebih RM10,000 untuk rakaman single pertamanya “Rindu Pelukan Bonda.”

“Sayangnya lagu tersebut tidak mendapat tempat di stesen radio terutama stesen radio swasta!
Namun itu sedikitpun tidak mematahkan semangat saya untuk membantu menaikkan semula nama Zaiton Sameon.

Menurut Syed Wafa, walaupun beliau kecewa kerana bayaran lebih RM10,000 untuk terbitkan lagu single dan lagu duet Zaiton Sameon telah dijelaskan kepada komposer A.Ali (Allahyarham) pada tahun 2018 tetapi akhirnya lagu tidak siap namun beliau terima ketentuan takdir.

Berpegang kepada pepatah Melayu ‘ Alang-Alang Menyeluk Pekasam, Biar Sampai Ke Pangkal Lengan” akhirnya beliau berjumpa Belle Fatah;

“Walaupun saya harus keluarkan bajet lagi untuk lagu ini yang mana jumlah keseluruhan hampir RM20,000 saya reda kerana yang penting lagu ini dapat menaikkan semula nama Zaiton agar beliau boleh meneruskan kehidupannya mencari rezeki dengan bakat anugerah-Nya,” kata Syed Yusof Wafa penuh harapan.

– BebasNews

Leave a Reply