Barisan penyanyi yang akan menjayakan Showcase Amal Keluarga Malaysia 3.0 pada 4 Jun ini di Bangi Resort Hotel, Selangor.

TERPAKSA menebal muka untuk memohon tajaan, namun setiap kali pergi apa yang Nizam Laksamana dapat hanyalah omongan kosong. Apa yang dilaluinya, cukup mengecewakan.

Malah, akui Nizam, dia hampir berputus asa untuk meneruskan penganjuran Showcase Amal Keluarga Malaysia: Artis Legenda 3.0 yang bakal berlangsung pada 4 Jun depan di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Jelas Nizam, biarpun sebelum ini dia pernah menganjur tiga acara namun kegigihan dan kejayaannya itu belum cukup kuat untuk mendapat perhatian pihak atasan atau insan kaya yang sudi menaja programnya itu.

“Mungkin kerana saya bukan nama besar dalam industri atau saya tiada gelaran maka kepercayaan itu tiada. Jenuh saya panjat sana sini jumpa orang besar, hulur proposal namun banyak janji daripada menepati.

Nizam Laksamana menganjur Showcase Amal Keluarga Malaysia: Artis Legenda 3.0 bagi membantu pesakit kanser.

“Akhirnya saya kata, tak mengapalah, saya buat apa yang termampu dan serah kepada Allah. Kerja amal ini tiada keuntungan di dunia, tapi insya-Allah besar ganjarannya di sana,” kata Nizam yang tetap bersemangat walaupun sukar.

Tambahmya, penganjuran Showcase Amal Keluarga Malaysia: Artis Legenda 3.0 yang disertai oleh rakan-rakan penyanyi iaitu Ezad Lazim, Zarul Umbrella, Baggio, Tam Spider, Ibnor Riza, Rahmad Mega, Daqmie dan Ramlah Ram adalah bertujuan untuk menyantuni pesakit dan bekas pesakit kanser.

“Saya buat begini kerana isteri saya adalah salah seorang pesakit kanser. Umum tahu bahawa isteri saya telah didiagnos mempunyai kanser pada penghujung Mac 2021. Saya sangat terkesan dengan keadaan isteri saya melawan kanser.

“Saya dan keluaga melalui fasa kehidupan yang sangat mendebar dan menakutkan pada permulaannya apabila isteri saya disahkan menghidap barah payudara tahap dua. Dia melalui proses perubatan yang sangat sakit iaitu kimoterapi dan pembedahan mastectomy.

“Semangat isteri saya sangat kuat untuk sihat. Alhamdulillah, dalam tempoh setahun setelah melalui proses perubatan isteri saya bebas daripada kanser.

“Mengambil semangatnya, saya niat dan bertekad untuk membantu pesakit dan bekas pesakit kanser ini dengan berkolaborasi bersama Cancer Survivors Malaysia satu badan NGO yang aktif memberi bantuan kepada pesakit kanser,” cerita Nizam tentang tujuan sebenar penganjuran acara tersebut.

Ujarnya, untuk acara itu terdapat 48 meja termasuk 10 meja VIP disediakan. Manakala harga tiket untuk seorang adalah RM200 dan RM300. Setakat ini 28 meja sudah terjual.

“Namun saya masih berharap agar masih ada individu atau syarikat yang sudi membantu dengan menghulur sumbangan atau menjadi penaja menjelang tarikh sebenar showcase nanti.

“Bagi syarikat korporat atau persendirian yang menaja majlis ini juga boleh mendapatkan pengecualian cukai kerana ianya akan dikeluarkan oleh pihak Cancer Survivors Malaysia,” katanya.

Bagi yang ingin menikmati hidangan, menonton dan mengimbau kenangan silam menerusi lagu kegemaran, jangan lupa untuk membuat tempahan melalui telefon atau WhatsApp di talian 019-3997944 (Nizam) dan Remy (018-3536786).

Jualan tiket untuk menonton persembahan penyanyi legenda ini masih terbuka kepada orang ramai.

Anda pasti akan terhibur dan turut menyanyi bersama jika penyanyi terbabit mendendangkan lagu seperti Meneka Dalam Kesamaran, Umpama Mimpi Dalam Mimpi, Relaku Pujuk, Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu, Ramalanku Benar Belaka, Mengintai Dari Tirai Kamar, Gugurlah Bunga Cinta sertaTakdir dan Waktu. — BebasNews

Leave a Reply