MALAM ini (AHAD 1 Mei) Ramadan akan meninggalkan kita untuk setahun lamanya, dan kembali lagi setelah itu.

Kita telah berpuasa menunaikan rukun Islam ketiga itu.

Ada yang berpuasa kerana terpaksa, ada yang berpuasa tetapi tidak tahu sepenuhnya mengapa.

Puasa mengajar kita supaya bertakwa. Mengikut Sayidina Ali RA, Taqwa ialah takut kepada Allah, melakukan ibadah, percaya kpd Al Quran, bersyukur dengan apa yang DIBERIKANNYA serta menyiapkan diri untuk hari PENGHAKIMAN ALLAH kelak.

Orang bertaqwa ialah yang melakukan amar makruf dan nahi munkar, dan pada masa yang sama mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Orang yang beriman dan beramal sholeh adalah sebaik-baik makhluk (al -Bayyinah 98 :7 ).

Maka kami ingin bertanya. Apakah Ramadan yang Dihadiahkan oleh Allah SWT kepada kita kali ini telah sesungguhnya kita manfaatkan sepenuhnya?

Kami tidak dapat melihat bahawa kata-kata buruk, cacian dan fitnah di alam maya telah berkurangan.

Apakah pembelaan terhadap penderitaan manusia dan alam sekitar telah dilakukan dengan sebaiknya?

Barangkali ingatan kepada Ilahi dalam berbanyak bentuk telah bertambah baik dalam hal-hal silaturahim, sedekah, ketabahan, dan kesabaran.

Mungkinkah perasaan marah terhadap keadaan yang menimpa negara juga turut reda dalam sepurnama ini?

Apa pun, kami rasa ramai yang bersyukur kepada Allah Taala kerana sekurangnya rakyat tidak dilanda malapetaka yang hebat sepertimana di sesetengah negara lain.

Kami berdoa supaya pemimpin-pemimpin negara kami akan memimpin dengan adil, saksama dan bersih sebersihnya dalam semua segi, agar bahagia dan tidak menyesal di akhirat nanti.

Hajar ‘ul Aswad menulis puisi berikut menandakan berakhirnya Ramadan tahun ini. Beliau mengharapkan ibadah sepanjang hidupnya diterima Allah SWT.

Hashim Yaacob melalui video mengucap selamat berpulang kepada Ramadan, dan selamat datang pada Syawal:

KOPI TERAKHIR DI DULANG RAMADHAN

Kopi terakhir
di dulang Ramadan sudah habis.
Moga tersusun cangkir-cangkir nikmat bersama krim susu keinsafan bekalan di padang kontang tatkala hisab ditimbang di neraca mizan.

Kopi terakhir
di dulang Ramadan sudah habis.
Moga aromanya lekat terpatri lazat bersama manik-manik zikir, sarat, erat pada talian tasbih tatkala meniti titian sirat
sepantas kilat.

Kopi terakhir
di dulang Ramadan sudah habis.
Moga nutrisinya meresap sebati mendarah daging pada
jari jemari tangan kanan
tatkala menadah naskah
diari catatan amal.

Kopi terakhir
di dulang Ramadan sudah habis.
Moga sebati istiqomah mewangi
menebari pelusuk ruang
terbias dalam jisim
diriku yang kerdil
hingga nafasku yang terakhir.

hajar ‘ul aswad
25 Ramadhan 1443H
27 April 2022

— BebasNews

Leave a Reply