UCAPAN Hari Raya Aidilfitri daripada Awie. - Foto FB AAP

LAGU-LAGU yang bertema Hari Raya Aidilfitri selain daripada yang sudah klasik dan malar segar (evergreen), memerlukan tuah dan banyak masa untuk berada sepopularnya atau mudah diterima masyarakat.

Penyanyi kumpulan rock Wings, Datuk Awie berkata, kadangkala pencipta lagu-lagu baharu Raya berasakan ciptaan dan gubahan mereka sudah sedap dan melodinya indah tetapi masyarakat pula yang masih setia dengan irama klasik dan era terdahulu.

“Bukan saya dan Wings tidak mahu buat lagu baharu Raya tetapi adakah nanti boleh setaraf macam lagu-lagu DJ Dave (“Menjelang Hari Raya”), “Satu Hari Di Hari Raya” (M. Nasir) dan “Musafir Di Aidilfitri” (S. Jibeng)?

“Lagu saya, “Raya Yang Sempurna” pun mungkin hanya Mat-Mat Rock yang suka. Jadi masih ada pengikutnya yang tersendiri, cuma mungkin jumlahnya kurang.

“Mungkin kami kalah dengan melodi lagu-lagu klasik Raya itu dan mungkin juga memerlukan masa yang lebih lama untuk setaraf mereka sebagai malar segar. Dulu-dulu pun pilihan lagu-lagu begitu tidak banyak,” katanya kepada BebasNews.

AWIE (tengah) dan Kumpulan Wings dalam poster ucapan Aidilfitri. – Foto FB AAP

Awie, atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 54, mengakui melodi lagu S. Jibeng itu terlalu indah baginya sehingga sanggup dinyanyikannya semula dengan gaya yang tersendiri.

“Saya sangat sayang dengan melodinya, begitu indah. Begitu juga dengan lagu M. Nasir,” katanya yang turut pernah menyanyikan semula lagu dendangan Mus bersama Wings, “Keroncong Hari Raya”.

Lagu-lagu malar segar itu tambahnya, memang tidak dapat dinafikan kehebatan apabila seolah-olah sudah menjadi budaya setiap kali tibanya Hari Lebaran.

Katanya, sekarang pun diam tak diam semakin ramai pencipta baharu yang muncul dan tidak melepaskan peluang untuk mencipta lagu-lagu baharu Aidilfitri.

“Sekarang siar satu klip video sahaja sudah ada lagu Raya.

“Namun nasihat saya ialah lagu-lagu baharu Raya ini kena ada had tersendiri (penyampaian dan persembahan), tidak melampau dan bersesuaian dengan perasaan atau mood hari mulia itu,” katanya secara umum, tanpa merujuk video tular seorang selebriti, baru-baru ini.

Menurut Awie, lagu “Halaman Asmara” duetnya bersama Ziana Zain turut memiliki unsur-unsur suasana Hari Raya dan sering dikeudarakan termasuk oleh radio-radio dan TV sempena Syawal biarpun lebih cenderung kepada percintaan kekasih. — BebasNews

Leave a Reply