Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad

SHAH ALAM — Mana-mana pihak dilarang memungut wang atau sumbangan dengan menggunakan alasan kepentingan Islam atau umatnya di rumah ibadat di negeri ini.

Selain kutipan di masjid dan surau, larangan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu melibatkan pemilik sekolah swasta Islam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik.

Menurut Pengarah JAIS, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad,  aktiviti berkenaan hanya dibenarkan sekiranya mendapat kebenaran oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Menurutnya, ia selaras Seksyen 106 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 Pindaan 2018.

“Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan wujudnya individu atau pihak yang mengambil kesempatan atas kemurahan hati umat Islam.

“Baginda bimbang ada pihak menggunakan wang sumbangan itu bagi kepentingan peribadi, kekuasaan dan pengaruh selain digunakan untuk menyeleweng ajaran Islam sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Shahzihan berkata, pihak yang melakukan kesalahan demikian boleh didenda maksimun RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Pentadbir masjid, surau dan musolla tidak dibenarkan mengutip khairat untuk mana-mana pihak namun hanya dibenarkan untuk manfaat sendiri.

“Wang diterima atau sumbangan sah perlu diaudit dan dilaporkan kepada JAIS,”katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menasihatkan orang ramai berwaspada sebelum membuat sumbangan bagi memastikan aktiviti kutipan khairat tanpa kebenaran tidak berlaku di negeri ini.

“Orang awam boleh menghulurkan derma atau sumbangan sedekah secara terus kepada Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor yang diuruskan Jais,” ujarnya. — BebasNews

Leave a Reply