Datuk Wira Dr. Azizan Osman. Foto - RichWorks.com

PEMEGANG saham utama ManagePay System Berhad (MPay), Datuk Azizan Osman menghormati keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) yang tidak memilih konsortiumnya sebagai antara lima penerima lesen bank digital yang diumumkan minggu lepas.

Azizan mendakwa pihaknya mempunyai kapasiti yang diperlukan untuk menjayakannya.

”Kalaulah kita diberikan lesen ini, kita mungkin boleh wujudkan dan beroperasi dalam tempoh 6 bulan saja…., kalau nak dibandingkan dengan pihak lain yang mungkin ambil masa 2 tahun,” kata beliau, lapor DagangNews.com.

Beliau juga berkata, MPay mempunyai infrastruktur yang diperlukan sebagai bank digital tempatan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan Tuan Yang Terutama Negeri Melaka, Tun Ali Rustam dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sempena majlis rumah terbuka Aidilfitri di `Mak & Ayah Garden’ iaitu kediaman keluarganya, di sini, pada Khamis.

Azizan juga berkata, beliau juga tidak tahu punca MPay tidak terpilih.

”Daripada segi infrastruktur dan teknologi, MPay sudah ada. Kebanyakan konsortium yang diterima itu ada kaitan dengan entiti luar negara. Mungkin pelabur luar saya kurang pasti,” kata beliau.

Pada Julai tahun lepas, MPay mengumumkan syarikat milik penuhnya ManagePay Services Sdn Bhd telah mengemukakan permohonan untuk lesen bank digital kepada BNM, disokong oleh tiga rakan strategik dikawal bumiputera — Trustgate Bhd, Crescent Capital Sdn Bhd dan RichWorks International Sdn Bhd.

Firma pelaburan dan perunding strategik Crescent Capital diasaskan dan diketuai oleh Tan Sri Mirzan Mahathir, anak kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, manakala RichWorks International diasaskan oleh Azizan. — BebasNews

Leave a Reply