Papan tanda menuju ke Kepong di lebuhraya - Foto Wikipedia

Oleh Ismail Hashim Yahaya

KADANG kala saya sedih tinggal Kepong Baru namun tetap bersyukur kerana masih memiliki tempat tinggal untuk dihuni.

Bagi saya, Kepong Baharu ini adalah satu republik yang tersendiri (bersempadan dengan Selayang di Selangor) dalam Wilayah Persekutuan.

Penduduknya seolah-olah berada di sebuah negara asing yang tidak ambil pusing tentang hal ehwal lain selain budaya dan kehidupan seharian mereka.

Mungkin ada yang beranggapan saya seorang rasis, ini tidak benar sama sekali. Namun sesiapa sahaja termasuk diri saya tetap mempunyai perasaan sedemikian dan ini normal bagi setiap kaum.

Setiap kaum pastinya mempunyai sikap perkauman masing-masing.

Bohonglah, jika tiada sikap perkauman dalam sebuah negara berbilang kaum. Di sebalik perasaan itu, kita masih berkawan bersahabat dengan semua bangsa termasuk Cina dan India, kita masih mempunyai hubungan yang baik dengan mereka dan saling menghormati.

Namun begitu saya hairan jiran-jiran Cina di kawasan saya tinggal seolah-olah tidak tahu yang umat Islam berpuasa ketika bulan Ramadan. Ini berdasarkan sapaan mereka yang bertanyakan sama ada jiran Melayu mereka sudah makan atau pun sebaliknya setiap kali bertemu.

Mungkin keadaan berbeza bagi kaum Cina yang muda.

Apakah media Cina tidak menyiarkan berita mengenai tarikh dan bila umat Islam berpuasa. Tidakkah ada orang Cina beragama Islam yang turut membaca berita dalam bahasa Mandarin di media cetak, media digital, media sosial atau mendengar berita di media elektronik.

Atau mereka tidak mempunyai rakan orang Melayukah?

Saya pernah bekerja di sebuah kolej Cina di Pulau Pinang. Malang sekali , 98 peratus pelajar Cina lansung tidak mempunyai pengetahuan am tentang negara mereka.

Kebanyakan pelajar yang belajar di kolej di peringkat diploma datang dari sekolah Cina.

Situasi menjadi keterlaluan apabila kalangan pelajar Cina sekolah berbahasa Inggeris yang masuk ke kolej ini tetapi terpaksa berhenti kerana dipulau dan didiskriminasi oleh rakan-rakan yang berbahasa mandarin.

Ini menyebabkan saya berfikir perlukah sekolah beraliran berasaskan kaum dikekal dan diteruskan?

Mungkin ada yang mendakwa kaum Melayu juga bersikap begitu.

Namung bagi saya, orang Melayu lebih banyak bersikap terbuka dan mereka tahu bila saja orang Cina merayakan Tahun Baru Cina.

Adakah ini berlaku kerana orang Cina boleh berdikari dari segi ekonomi.

Sukar untuk mendapatkan makanan halal di Kepong Baru, bahkan gerai dan restoren Melayu hampir tidak ada. Pasar pagi, gerai makanan, warung kopi dikuasai orang Cina jika bukan orang India.

Kebiasaan orang Melayu tidak akan berniaga makanan di kawasan majoriti Cina.

Jika orang Melayu yang berasal dari kawasan luar bandar tinggal di kawasan Kepong Baru, mereka juga berdepan kejutan budaya dan akhirnya berpindah ke tempat lain.

Tinggal di Kepong Baru ibarat tinggal di sebuah republik yang mana umat Islam menjadi kumpulan yang sangat minoriti.

Di kawasan Kepong Baru dan Kepong amnya, masyarakat Cina hidup berdikari dari segi ekonomi tanpa bergantung dan merujuk kepada pentadbir Wilayah Persekutuan.

Mereka membuat hal dan urusan sendiri, berbudaya dalam sebuah republik Kepong Baru dan jika tidak berurusan dengan bangsa lain mereka masih boleh hidup.

Di republik Kepong Baru di mana masyarakat Cina sudah mempunyai autonomi, geo-politik lokal dan mikro ekonomi sendiri yang membolehkan mereka hidup berdikari.

Keadaan yang sama berlaku di Pulau Pinang, tempat kelahiran saya di mana terdapat banyak republik kecil di sana.

Sekali lagi saya bukan bersikap perkauman sekadar mencoretkan apa yang diperhatikan dan direnungi.

Penulis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).

(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)

— BebasNews

Leave a Reply