Sumber - Wikipedia

KITA adalah manusia yang terperangkap oleh geografi dan geopolitik. Apa yang telah dijadikan ‘fakta’ dalam sejarah politik Thai moden, ialah penduduk Melayunya “tidak boleh dipercayai kerana mereka telah secara berterusan memberontak menentang pemerintahan Siam sejak zaman Ayuthaya sehingga ke zaman Rattanakosin, atau era Bangkok.” Penduduk Melayu juga dilihat sebagai “pemisah” dari negara Thai.

Dalam sebuah penulisan tahun 2004, yang diterbitkan pada tahun 2008 bertajuk “Origins of Malay Muslim ‘Separatism’ in Southern Thailand,” dalam Michael J Montesano dan Patrick Jory, ed. Thai South and Malay North: Ethnic Interactions on a Plural Peninsula, NUS Press, dicetak semula tahun 2020, sejarawan Thammasat University Thanet Aphornsuvan telah menceritakan kembali isu ‘fakta’ yang dipaparkan dalam kesarjanaan Thai, serta pihak berkuasa dan laporan media Thailand.

Persejarahan nasional Thailand, sejak kemunculan penulisan sejarah Thai moden lewat abad ke 19, menekankan bahawa kerajaan Thai “memiliki negeri-negeri Melayu di Selatan.” Wacana mengenai kemerdekaaan Thailand berkisar atas “kehilangan dan pengekalan” wilayah-wilayah tersebut. Dari perspektif Thailand, Perjanjian Siam-Inggeris 1909 telah memaksa Siam menyerahkan seluas 15,000 batu persegi empat buah negeri Melayu kepada imperial Britain.”

Siam telah lama menghadapi masalah sempadan dan persempadanan dengan negeri-negeri Melayu. Terdapat satu konsep kewilayahan dan budaya yang disebut sebagai “Negara bangsa Thai dengan sempadan tetap” (Siamese nation-state with fixed borders). Sejarawan Thai yang berpusat di University of Wisconsin, Amerika Syarikat mengistilahkannya sebagai “geo-body” (tubuh-geo).

Dakwaaan “pemisahan” berlandaskan dari konsep tersebut. Naratif Thai telah mengandaikan kewujudan sebuah negara bangsa, apa yang dapat disifatkan sebagai tubuh negara Thai sejak berkurun lagi. Ini bermaksud, dari perspektif mereka, sempadan antara negara itu dan Malaysia kini adalah sempadan asal Siam, seterusnya negara Thai/Thailand seperti yang disebut sebagai “back into the mists of time”. Ini bermaksud, wilayah-wilayah Melayu tersebut telah menjadi sebahagian dari negara Thai “sejak azali lagi.”

Kita terperangkap dengan label dan semantik. Warganegara Malaysia dipaparkan dengan istilah “serangan,” “serang hendap” dan “perompak.” Juga kitaran keganasan itu disebabkan sebagai angkara “penagih dadah.” Itulah yang dinyatakan oleh perdana Menteri Thailand ekoran serangan ke atas pusat kawalan polis dan tentera di Yala, Songkhla dan Narathiwat pada bulan April 2004.

Kajian mengenai apa yang biasa disebut sebagai “konflik” dan “keganasan” telah mengalih tumpuan dari sebab musabab kepada perkembangan mutakhir. Kajian sejarah politik Thai moden bersifat berat sebelah dan memesongkan.

Kita dapat mengenalpasti dua perspektif mengenai sejarah politik moden Thailand. Satu perspektif merangkumi kajian dari sarjana dan wartawan luar dalam tahun 1940an. Kajian mereka ini amat kritikal terhadap dasar kerajaan Thai terhadap penduduk Melayu. Golongan pengkaji tersebut lebih menyokong kepada hak orang-orang Melayu mementukan masa depan mereka. Berikutan Perang Dunia Kedua sehingga dekad 1960an, kumpulan ini amat simpati kepada perjuangan hak penduduk Melayu di utara semenanjung dalam menentukan masa depan mereka.

Kumpulan tersebut telah mendakwa kerajaan Thai telah berpersangka buruk terhadap penduduk Melayu dengan mengistilahkan mereka sebagai “khaek” atau “tetamu.” Ini membawa maksud orang-orang Melayu sebagai “orang luar”, atau “minoriti” dan akhirnya “pemisah perompak” (separatist bandits). Inilah yang kita sering ketahui dari media Melayu di Malaysia.

Kumpulan kedua terdiri dari penulis dan sarjana dari kumpulan akademik dan penjawat awam Thai. Perspektif mereka dicorak oleh sentimen nasionalisme Thai dan ketaatan kepada negara dan raja.

Kerajaan Thailand telah memperkukuhkan naratif mereka ini dari peristiwa Pemberontakan Haji Sulong. Penangkapan sarjana dan intelektual itu pada 16 January 1948 menandakan permulaan kepada keruntuhan negeri Melayu Pattani.

Haji Sulong didakwa sebagai pengkhianat. Dan pada bulan April tahun yang sama, berlaku pertempuran antara penduduk Melayu dengan pihak berkuasa Thai di Dusun Nyior. Versi Thai menyebut peristiwa itu sebagai “Pemberontakan Dusun Nyior” (Kabot Dusong Yo dalam naratif Thai). Dusun Nyior dipimpin oleh Haji Abdul Rahman. Pada tahun 1954, Haji Sulong dikatakan telah hilang, dikatakan dibunuh setelah melaporkan diri kepada polis cawangan khas di Songkla (Singgora nama Melayunya)

Dari perspektif Thai Haji Sulong dan Haji Abdul Rahman dipaparkan sebagai pengganas. Ini disokong oleh penulisan sejarah Thai. Peristiwa Dusun Nyior telah meragut nyawa 400 penduduk Islam dan 30 polis Thai. Dusun Nyior menandakan kemuncak konflik antara penduduk Melayu dan kerajaan Thai. Ini diikuti oleh prasangka dan dendam. Akibat dari penindasan kerajaan Thai ke atas penduduk Melayu, dikatakan seramai antara 2,000 hingga 6,000 dari mereka berpindah ke Malaya.

Pada masa yang sama, kira-kira 250,000 Melayu Pattani menandatangani petisyen meminta Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu campur tangan dalam mengendalikan proses memisahkan empat wilayah “Thai” itu dari “tubuh geo” negara itu. Mereka mendesak supaya wilayah-wilayah Melayu tersebut dimasukkan ke dalam Persekutuan Tanah Melayu yang baharu ditubuhkan itu. — BebasNews

Leave a Reply