Menteri kesihatan brunei

BERAKAS 10 Mei — Kes jangkitan harian Covid-19 di Brunei Darussalam terus mencatatkan peningkatan apabila merekodkan 265 kes baharu hari ini berbanding 249 semalam dan 231 kelmarin.

Dengan perkembangan ini, jumlah keseluruhan kes yang direkodkan setakat ini adalah 143,372.

Menteri Kesihatan Dr. Md. Isham Jaafar berkata, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 260 adalah hasil Ujian ART dan lima kes lagi hasil daripada 355 Ujian Makmal RT-PCR, yang dilakukan dalam tempoh 24 jam lalu.

Bercakap pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 di Negara Brunei Darussalam, beliau berkata, tiada kes dalam Kategori 5 dilaporkan iaitu mereka yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Intensif (ICU).

Bagaimanapun satu kes direkodkan dalam Kategori 4, yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

Sebanyak 125 kes disahkan sembuh, yang membawa jumlah keseluruhan 141,961 manakala jumlah kes aktif pula sebanyak 1,192 kes, iaitu 26 kes sedang dirawat di hospital, manakala 1,166 kes sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

Sementara itu semalam, 1,543 kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun mendapatkan dos vaksin Covid-19 menjadikan 26,073 atau 60.8 peratus telah menerima satu dos.

Sebanyak 1,226 lagi kanak-kanak mendapat dos kedua menjadikan 4,808 atau 11.2 peratus manakala 66.7 peratus penduduk dewasa mendapat dos ketiga. — BebasNews

Leave a Reply