Roziah (belakang tiga dari kanan) dan Shazili (tiga dari kiri) bergambar bersama sebahagian atlet di KLIA2 Sepang hari ini.

SEPANG — Seramai 17 orang atlet Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang terpilih mewakili negara ke Temasya Sukan SEA diraikan oleh pengurusan tertinggi di KLIA2 Sepang hari ini.

Atlet-atlet dari UiTM tersebut akan menyertai sembilan jenis acara yang dipertandingkan di Hanoi, Vietnam dari 12 hingga 23 Mei 2022.

Menurut Jabatan Komunikasi UiTM, seramai lima orang atlet UiTM bakal beraksi dalam acara pétanque diikuti acara kayak seramai tiga orang, catur dua orang serta atlet-atlet lain dalam acara sepak takraw, ten-pin bowling, memanah, bola sepak, dan menembak.

“Cabaran warga UiTM ke Sukan SEA Hanoi juga digalas oleh tiga kakitangan UiTM yang terlibat sebagai pemain dan jurulatih pasukan.

“Bertempat di KLIA2, satu sesi pertemuan ringkas atlet Pétanque dan sepak takraw bersama Naib Canselor UiTM,Prof. Datuk Ts. Dr Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Timbalan NC Hal Ehwal Pelajar (HEP) Prof. Dr.Mohd. Sazili Shahibi, telah diadakan bagi memberi semangat dan inspirasi kepada atlet UiTM untuk beraksi dengan cemerlang dalam misi untuk mencapai pingat di temasya dwitahunan ini,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, Roziah melahirkan rasa amat berbangga dengan pencapaian atlet UiTM dalam mewakili pasukan kebangsaan dan sentiasa peka dengan kebajikan mereka.

Sementara itu bagi memberi sokongan moral, pihak pengurusan UiTM menyumbang wang saku berjumlah RM3,200.00 kepada atlet-atlet UiTM sebelum mereka berlepas ke Hanoi pagi tadi.

Untuk rekod, sebelas orang atlet merupakan pelajar Fakulti Sains Sukan Rekreasi, dua orang pelajar Fakulti Pengurusan Perniagaan, dan yang lain merupakan pelajar dari Fakulti Sains Komputer dan Matematik, Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Fakulti  Perladangan dan Agroteknologi serta Fakulti Pendidikan.

Bidang sukan merupakan impak kepada Matlamat 3: Sustainable Development Goals (SDG) dalam usaha UiTM mempromosikan gaya hidup sihat dan sejahtera melalui
pencapaian atlet-atlet UiTM kepada warga kampus. — BebasNews

Leave a Reply