dollars, coins, money
Photo by geralt on Pixabay Gambar hiasan

KUALA LUMPUR — Lazimnya duit raya yang menjadi buah tangan buat tetamu khususnya anak-anak ketika Syawal berupa wang kertas.

Bagaimanapun kejutan dilakukan oleh seorang pengguna media sosial, Shazeil Zainal apabila meletakkan duit syiling penuh dalam sebuah tong.

Malah lebih menarik, anak-anak boleh mengambil sendiri duit raya itu sebanyak segenggam tangan mereka.

Plastik turut disediakan bagi mengisi syiling tersebut.

Tular sebuah video di TikTok yang sudah ditonton lebih 942,700 kali, anak-anak gembira mengaut duit syiling dari dalam tong berwarna hitam tersebut.

Menurut pemilik akaun itu, beliau menyediakan syiling buat tetamu yang datang ke rumahnya kerana tidak sempat menukar duit di bank.

“Panik raya. Tak sempat tukar duit raya,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Penularan video itu menarik perhatian warganet yang memberi pelbagai reaksi, malah ada yang berkongsi pengalaman sama.

Seorang pengguna, Aafliza memberitahu, adik iparnya pernah membuat perkara sama kerana tidak sempat menukar duit di bank.

“Anak saya, dia punya segenggam boleh dapat RM10,” komennya.

Shazeil yang membalas komen itu memaklumkan bahawa tiada jumlah ditetapkan untuk ambil duit raya tersebut.

“Tak kisah. Had dalam genggam depa punya, yang jatuh tak boleh kutip,” tulisnya.

Malah ada juga dalam kalangan warganet yang berteka teki mengenai jumlah duit syiling itu boleh mencecah ribuan ringgit.

“Saya pergi tukar duit syiling satu balang lebih RM500. Ni tak tahu berapa, beribu-ribu,” komen Erah. –BebasNews

Leave a Reply