
DUA peluang bantahan video (video challenge) bakal dilaksanakan dalam saingan sepak takraw Sukan SEA Ke-31, Hanoi 2022 yang bermula esok dengan acara regu berpasukan.
Pengenalan peraturan baharu ini berbeza ketika Sukan SEA Filipina 2019 yang hanya memberikan satu peluang dalam setiap set kepada setiap pasukan bertanding.
“Bantahan video dalam Sukan SEA kali ini berkaitan sama ada bola masuk atau keluar di garisan sisi dan belakang gelanggang (challenge line).
“Bantahan nombor dua (challenge net) pula mengenai sama ada anggota badan pemain melepasi jaring di tengah gelanggang ketika merejam dan mengadang bola.
“Bantahan ini dijalankan dengan bantuan beberapa kamera berhampiran ketiga-tiga kawasan berkenaan,” kata Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), Abdul Halim Kader kepada BebasNews.
Penjelasan mengenai dua bantahan ini menjadi antara topik penting mesyuarat teknikal dan pengurus pasukan di sebuah hotel di Hanoi, hari ini.
Tegas Halim, turut membawa kelainan dalam bantahan di Hanoi ialah mana-mana pengurus pasukan atau jurulatih dilarang daripada mendekati lagi pengadil rasmi dan kawasan kajian video dilaksanakan oleh pegawai teknikal.
“Tidak seperti di Filipina 2019, Astaf kali ini hanya membenarkan pegawai-pegawai pasukan yang mahu membantah keputusan awal pengadil rasmi, menayangkan papan tanda bantahan dengan mengangkatnya tinggi di atas kepala.
“Mereka hanya perlu menunggu keputusan kajian video itu di bangku pasukan yang akan disampaikan kepada pengadil rasmi yang kemudiannya memutuskan untuk menerima atau menolak bantahan itu,” jelasnya.
Sepak takraw Sukan SEA Hanoi akan berlangsung di Gimnasium Hoang Mai, Hanoi sehingga 21 Mei ini dengan tiga lagi pingat emas menjadi rebutan dalam antara regu, beregu dan kuadran.
Skuad lelaki negara akan menghadapi Thailand dalam perlawanan pembukaan regu berpasukan pukul 10 pagi esok (waktu Malaysia) yang berformat liga sepusingan.
Dua lagi pasukan ialah tuan rumah, Vietnam dan Kemboja.
Skuad wanita negara pula akan menentang Laos pada pukul 2 petang waktu Malaysia.
— BebasNews

[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017 dan Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).