KAMOL Tankimhong pada mesyuarat teknikal dan pengurus pasukan sepak takraw Sukan SEA Hanoi 2022 di depan dua pegawai pasukan Malaysia, Awi Awang dan Muzhafar Hamdan. - Foto Abdul Hafiz Ahmad
LAPORAN:

THAILAND tidak mahu menganggap perlawanan pembukaan sepak takraw Sukan SEA Hanoi 2022 dengan Malaysia ibarat final acara regu berpasukan di Gimnasium Hoang Mai, 10 pagi esok (waktu Malaysia).

Ketua jurulatih Si Gajah Putih, Kamol Tankimhong tetap menyifatkan tuan rumah, Vietnam mampu menyaingi sekalipun acara tertua sejak Sukan SEAP 1965 ini hanya disertai empat negara termasuk Kemboja.

“Hampir tiga tahun sepak takraw tiada pertandingan antarabangsa (akibat pandemik Covid-19 sejak kali terakhir dalam Sukan SEA Filipina 2019).

“Kami seperti ‘orang buta’ tentang kemampuan lawan tetapi saya dapat rasakan Vietnam pun mampu menyaingi kami,” katanya selepas mesyuarat teknikal dan pengurus pasukan di sebuah hotel di Hanoi, hari ini.

Namun Kamol mengakui mendapat tahu bahawa Malaysia menampilkan ramai muka baharu dalam temasya serantau dwitahunan edisi ke-31 dan hanya bersandarkan tiga pemain senior daripada skuad pemenang pingat perak 2019.

Thailand yang menjuarai regu berpasukan sejak Singapura 1993 ujarnya, masih mempertaruhkan Pornchai Kaokaew kerana sukar mencari apit kanan perejamk kidal yang sehandal veteran berusia 41 tahun itu.

PORNCHAI Kaokaew, perejam Thailand yang pernah dinobat Pemain Paling Bernilai Piala Dunia Istaf 2011 di Kuala Lumpur – Foto FB PKTC

“Dalam Liga Thailand pun kami tidak jumpa yang setandingnya. Dia juga kapten pasukan kami.

“Apabila Piala Raja Thailand tidak dipertandingkan (2020 dan 2021) malah Sukan SEA Hanoi ditunda (dari 2021), sukar untuk menilai tahap kemampuan perejam lain.

“Anuwat Chaichana (perejam ranking kedua Thailand berusia 40 tahun) pula baru pulih daripada kecederaan jadi tidak disenaraikan dalam antara regu.

“Kami pilih muka baharu, Phutawan Sopa juga bagi antara regu) pun hanya kerana mahukan kelainan dalam gaya permainan,” kata Kamol, 68, yang membuat penampilan Sukan SEA yang ke-14 sejak Chiang Mai 1995.

Phutawan bakal menikmati cap antarabangsa sulungnya di Hanoi ini pada usia 22 tahun dan dianggap sudah mampu mengatasi perejam ranking ketiga yang agak berpengalaman juga, Jirasak Pakbuangoen, 31. — BebasNews

Leave a Reply