Kereta membawa lima mangsa yang rentung dalam nahas tiga kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan awal pagi tadi dipercayai dirempuh dari belakang sebelum terbakar. -JBPM

KUALA KANGSAR — Kereta membawa lima mangsa yang rentung dalam nahas tiga kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan awal pagi tadi dipercayai dirempuh dari belakang sebelum terbakar.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob ketika ditemui pada Khamis berkata siasatan awal mendapati kereta mangsa berada di belakang treler membawa muatan mozek di lorong kanan disebabkan lorong kiri laluan KM246-244.4 ditutup untuk penyelenggaraan jalan.

Namun, secara tiba-tiba, sebuah treler membawa muatan besi pagar dari arah belakang kereta tidak sempat membrek lalu merempuh belakang kereta mangsa sebelum menyeretnya ke hadapan sehingga melanggar belakang treler muatan mozek.

Akibat nahas tersebut, treler muatan besi pagar itu terbakar sebelum api merebak ke bahagian kepala treler.

Menurut Omar Bakhtiar, akibat tersepit, kesemua mangsa di dalam kereta jenis Honda City itu tidak dapat menyelamatkan diri.

Beliau dalam pada itu mengesahkan lima mangsa yang rentung dalam kemalangan di Kilometer 245.2 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara awal pagi tadi merupakan penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar.

Identiti kesemua mangsa yang berumur di antara 19 hingga 23 tahun itu sedang dikenal pasti.

“Lima orang tersebut kita kenal pasti, berumur lebih kurang daripada 19 tahun hingga 23 tahun yang dipercayai pelajar daripada Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar.

“Identitinya sebenar mangsa kita sedang kenal pasti.

“Kelima-lima mangsa yang rentung tersebut semuanya lelaki.

“Mereka dipercayai dari Ipoh nak balik ke Kuala Kangsar,” kata Omar Bakhtiar ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar pada Khamis.

Polis telah menahan pemandu treler berusia 28 tahun yang membawa muatan besi pagar untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber asal — https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kereta-5-mangsa-rentung-dirempuh-dari-belakang-tersepit-di-antara-dua-treler-polis-360943

— BebasNews

Leave a Reply