MOHAMAD Norza Zakaria (kiri) dan Nur Azmi Ahmad ketika menyaksikan silat Sukan SEA 2022 di Pusat Sukan Bac Tu Liem, Hanoi. - Foto MOM
LAPORAN:

MAJLIS Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) hari ini memberikan hak tuan rumah Sukan SEA Ke-34, 2027 kepada Malaysia menerusi Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Keputusan sebulat suara itu diumumkan dalam mesyuarat Majlis SEAGF yang dipengerusikan Presiden persekutuan dan Jawatankuasa Olimpik Vietnam (VOC) yang juga Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan, Nguyen Van Hung.

Kenyataan media MOM menyebut, hadir dalam mesyuarat itu ialah Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Setiausaha Agung, Datuk Mohd. Nazifuddin Najib dan Naib Presiden yang juga Ketua Kontinjen Sukan SEA Ke-31, Hanoi 2022, Datuk Paduka Nur Azmi Ahmad.

“Kami berterima kasih kepada SEAGF atas kepercayaan kepada Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027.

“MOM akan membuat janji temu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi memaklumkannya secara rasmi sekembalinya ke Malaysia,” kata Norza dalam kenyataan itu.

Malaysia atau Kuala Lumpur pernah menjadi tuan rumah Sukan SEAP/SEA 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017.

Hos Sukan SEA Ke-22 ialah Kemboja 2023 diikuti edisi ke-23 di Thailand 2025.

Brunei dan Indonesia pada mulanya antara negara yang dijadualkan memegang giliran hos temasya ke-24.

Kenyataan tersebut menambah, dua acara olahraga Sukan SEA Hanoi yang pada mulanya dibatalkan iaitu baling tukul besi dan lontar peluru, boleh dipertandingkan apabila sukan itu membuka tirainya Sabtu ini di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi.

“Sebelum ini kedua-dua acara berkenaan didapati tidak menepati Piagam dan Peraturan SEAGF Artikel 34.2 iaitu minimumnya mesti disertai tiga negara peserta Sukan SEA.

“Baling tukul besi sebelum ini hanya disertai dua atlet Malaysia dan seorang dari Thailand. Kini sudah ada dua atlet Malaysia, seorang Thailand dan seorang Kemboja.

“Lontar peluru mulanya ada seorang atlet Indonesia dan dua dari Thailand kini mendapat Malaysia (satu), Indonesia (satu), Thailand (dua) dan Kemboja (satu),” lapor kenyataan itu.

Kenyataan media —

— BebasNews

Leave a Reply