Rosmah Mansor - Foto Wikipedia

KUALA LUMPUR — Keputusan perbicaraan kes Datin Seri Rosmah Mansor atas pertuduhan rasuah projek solar hibrid untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak ditetapkan pada 7 Julai depan.

Penetapan tarikh tersebut diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan semasa sebutan kes berkenaan hari ini, lapor Bernama.

“Kita telah sampai ke penghujung kes ini dan sudah tiba masa untuk penentuannya.

“Saya bercadang untuk mengambil masa dua bulan dari tarikh hari ini untuk mengemukakan penghakiman penuh bertulis pada 7 Julai semasa menyampaikan keputusan saya.

“Saya akan menyampaikan keputusan saya pada pukul 9 pagi pada tarikh berkenaan,” katanya, lapor Bernama.

Di mahkamah hari ini, Rosmah berbusana kurung kuning dan selendang dengan warna sepadan.

Terdahulu pendakwa utama, Datuk Seri Gopal Sri Ram mengemukakan dua kes perundangan terkini sebagai nas undang-undang.

Rosmah yang diwakili peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader pula berkata, beliau baru menerimanya hari ini dan memohon lebih masa untuk menjawabnya.

Mohamed Zaini kemudiannya membenarkan permohonan pihak pembelaan dengan memberikan masa yang diperlukan dan mereka perlu menyatakan jawapan itu pada penghujahan bertulis.

“Jangan risau, saya pasti akan lihat penghujahan itu.

“Saya telah pun melihat hujahan awal anda sekurang-kurangnya sekali dan saya akan lihatnya sekali lagi,” katanya.

Pada 23 Februari 2021, pihak pembelaan menutup kesnya selepas memanggil dua saksi, Rosmah dan bekas Pengarah Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM), Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod.

Pada 18 Februari tahun lalu, Rosmah, 70, diperintah membela diri di atas tiga pertuduhan selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.

Beliau berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan meneroma rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin.

Rasuah itu didakwa diterima melalui bekas pegawai khas beliau, Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Projek bernilai RM1.25 bilion itu dibuat secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan. — BebasNews

Leave a Reply