Shireen Abu Akleh - Foto Al Jazeera.

Negara-negara kuasa besar dunia dan juga PBB meminta siasatan terperinci dilakukan terhadap kematian wartawan veteran Al-Jazeera, Shireen Abu Akleh yang terbunuh dalam serbuan dilakukan tentera rejim Yahudi di Tebing Barat, Palestin.

Shireen, 51, ditembak mati ketika membuat liputan tentang serbuan tentera berkenaan di Bandar Jenin.

Jenazah Shireen dibawa ke kota Ramallah dan diberi penghormatan penuh negara Palestine.

Selain wartawan wanita itu, wartawan lain Ali Al-Samoudi pula ditembak pada bahagian belakang, lapor Kementerian Kesihatan Palestin, lapor Agensi Anadolu.

Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Proses Perdamaian di Asia Barat, Tor Wennesland dalam Twitter mengutuk pembunuhan wartawan itu.

“Saya menyeru supaya siasatan terperinci dilakukan segera supaya mereka yang bersalah dipertanggungjawabkan. Wartawan tidak seharusnya dijadikan sasaran,” tambah beliau.

Duta AS ke Israel , Tom Nides juga meminta supaya siasatan dilakukan terhadap kematian wartawan berkenaan.

Duta UK ke Israel, Neil Wigan dalam Twitternya, menyatakan kesedihannya terhadap kematian Shireen dan meminta siasatan yang segera dan juga telus dilakukan.

Delegasi Kesatuan Eropah ke Palestin juga menyatakan rasa terkejut mereka terhadap kejadian berkenaan.

TV Al Jazeera sebelum ini menuduh tentera Israel sengaja membunuh wartawannya.

Abu Akleh yang dilahirkan di Baitulmuqaddis pada tahun 1971 mempunyai ijazah dalam bidang kewartawanan dan media dari Universiti Yarmouk di Jordan. — BebasNews

Leave a Reply