Bandar Jerantut banjir kilat

JERANTUT — Buat pertama kalinya Bandar Jerantut, Pahang dilanda banjir kilat luar biasa sedalam kira-kira 0.60 meter akibat hujan lebat selama hampir satu jam pada petang semalam (Khamis) mengakibatkan lalu lintas mengalami kesesakan dan menjejaskan aktiviti perniagaan dan pengunjung.

Khuatir terhadap banjir kilat itu menjadi lebih buruk, kebanyakan pemilik premis perniagaan mengambil keputusan menutup lebih awal aktiviti jualan mereka.

Para pengguna kenderaan pula kecewa kerana kebanyakan stesen minyak petrol di bandar berkenaan menutup sementara perniagaan akibat terjejas oleh banjir kilat tersebut.

Kawasan utama yang mengalami banjir kilat bermula pada pukul 5 petang itu ialah di Bandar Inderapura, Jalan Jerantut-Temerloh, namun surut dalam jangka masa setengah jam kemudiannya.

Penduduk setempat menyifatkan bahawa kejadian banjir kilat sedemikian tidak sepatutnya berlaku di bandar Jerantut kerana lokasi penempatan itu adalah di tanah tinggi.

Bagaimanapun banjir kilat itu terjadi dikhuatiri akibat daripada sistem perparitan dan sistem pembetungan air tersumbat kerana tidak diselenggara atau diperiksa dari semasa ke semasa.

Selain itu pihak pemaju juga dipercayai tidak melakukan penyediaan pelan khusus bagi projek pembangunan untuk memastikan saliran air hujan lebat tidak terhalang oleh sebarang kerja tanah sesuatu projek pembinaan.

Berikutan itu penduduk setempat menggesa agar pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan dapat membuat kajian dan tindakan berkesan terutama kepada sistem saliran air hujan lebat bagi menjamin masalah banjir kilat dapat diatasi pada masa depan.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Lalu Lintas Majlis Daerah Jerantut, Datuk Ridzuan Mansor berkata, hujan lebat yang luar biasa menjadi faktor berlaku banjir kilat di bandar tersebut.

Menurutnya, fenomena hujan lebat itu mengakibatkan saliran longkang dan sistem pembetungan tidak mampu untuk menampung penyaluran air yang terlalu banyak sekali gus mengakibatkan banjir kilat. — BebasNews

Leave a Reply