Mohamad Khir bertanya khabar kepada Hamid yang sedang terlantar.

KLANG — Pelawak veteran, Hamid Gurkha,90, semakin pulih setelah dilaporkan uzur akibat dijangkiti Covid-19 sejak dua bulan lepas.

Menurut isterinya, Timah Abdul Hamid,80, suaminya sudah mampu duduk dan berjalan perlahan-lahan ke bilik air sendirian tetapi perlu dikawal pergerakannya kerana dia pernah jatuh dan cedera di dahi.

“Sebagai isteri saya bimbang dia jatuh lagi seperti sebelum ini akibat badan terlalu lemah.

“Dia kurang selera makan selepas dijangkiti Covid-19. Suami saya tiada penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kehadiran bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo di Taman Sri Andalas hari ini.

Terdahulu minggu lalu media melaporkan Hamid atau nama sebenarnya, Abdul Hamid Abdul Rahman berada dalam keadaan uzur dan fizikalnya berada dalam keadaan kurus selepas dijangkiti Covid-19 sebelum ini.

Timah berkata, Hamid semakin uzur bukan sahaja disebabkan Covid-19 tetapi faktor usianya yang sudah lanjut menyebabkan pemulihan kesihatannya mengambil masa yang panjang.

Sementara itu Mohamad Khir berkata, beliau berharap kerajaan membantu seniman veteran yang banyak berjasa menghiburkan rakyat negara ini dan pernah berjuang sebagai anggota tentera.

“Pak Hamid adalah ibarat wira tidak didendangkan, beliau juga adalah bekas anggota tentera yang berjuang untuk negara semasa usia mudanya.

“Saya berharap pelawak yang menghiburkan kita semasa beliau sihat perlu kita bantu bila dia sakit dan uzur. Pihak berkuasa atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) veteran tentera diharap dapat membantu Pak Hamid untuk mendapatkan rawatan yang sempurna,”katanya. –BebasNews

Leave a Reply