Ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Rumah Putih, Washington D.C. disambut mesra oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden malam Khamis (Jumaat di Malaysia).

WASHINGTON D.C. -– Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan pemimpin ASEAN di Rumah Putih pada Khamis (Jumaat di Malaysia).

Presiden Biden mengadakan pertemuan dengan para pemimpin ASEAN untuk Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS selama dua hari di sini bermula Khamis.

Pertemuan bersejarah ini dilihat sebagai titik permulaan untuk membawa impak positif terhadap hubungan diplomatik, dagang dan ekonomi kepada Malaysia.

Ismail Sabri turut menekankan kepaksian ASEAN dalam kerjasama ASEAN-AS di sidang kemuncak itu, selain berharap ia menjadi landasan strategik bagi ASEAN dan AS mengkaji serta meneroka bidang kerjasama yang dapat mengukuhkan sedia ada.

Ismail Sabri turut menyertai Biden dan pemimpin ASEAN untuk bergambar secara berkumpulan di pekarangan Rumah Putih.

Mereka kemudiannya menghadiri majlis makan malam yang dihoskan Presiden Biden di Rumah Putih.

Sidang kemuncak khas dengan pemimpin negara Asia Tenggara itu kali kedua dianjurkan oleh Presiden AS di negara ini. Pada Februari 2016, Presiden ketika itu, Barack Obama mengalu-alukan pemimpin ASEAN di Sunnylands, California.

Pemimpin ASEAN lain yang menghadiri pertemuan kali ini ialah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Presiden Indonesia Joko Widodo; Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.

Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-Cha; Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh dan Perdana Menteri Laos, Dr Phankham Viphavanh juga menghadirinya. — BebasNews

Leave a Reply