JUARA bertahan, Thailand kian pasti menggenggam pingat emas regu berpasukan sepak takraw Sukan SEA Ke-31, Hanoi 2022 setelah mudah menewaskan Malaysia 3-0, hari ini.
Si Gajah Putih seperti menjadikan skuad negara ‘lawan sepelatihnya’ dalam perlawanan pertama liga sepusingan empat pasukan di Gimasium Hoang Mai, Hanoi itu.
Ketua jurulatihnya, Kamol Tankimhong juga memilih untuk tidak menurunkan gandingan tradisi dan terkuat sebaliknya menyulam atau lebih sebagai eksperimen menjelang acara lebih getir, antara regu mulai Isnin ini.
Malaysia pula yang membariskan majoriti muka baharu, mengutip pengajaran pahit bahawa Sukan SEA ini bukanlah medan pendedahan yang wajar sebaliknya menagih gandingan tonggak senior demi maruah sukan tradisi negara.
Regu pertama negara, Zarif Marican Ibrahim Marican (tekong), Afifuddin Razali (perejam) dan Aidil Aiman Azwawi (pengumpan) tunduk kepada Sittipong Khamchan, Phutawan Sopa dan Pattarapong Yupadee 4-21, 19-21.

Sedikit tentangan walau bagaimanapun dapat diberikan regu kedua, Faisal Fuad, Noraizat Nordin dan Nofaizzul Razak namun tetap ditewaskan Pornthep Tinbangbon, Pornchai Kaokaew dan Yotsawat Uthaijaronsri 16-21, 11-21.
Regu ketiga pula, Haziq Hairul Nizam (Zuhri Zain), Redwan Hakim Muhammad (Eqbal Shamsudin) dan Zulhusni Basri pula jelas tiada tandingan apabila dibenam Kritsanapong Nontakote (Siriwat Sakha), Jirasak Pakbuangoen, Rachan Viphan (Wichan Temkort) 9-21, 7-21.

Malaysia bakal menentang Kemboja yang dianggap lawan paling lemah dalam acara regu berpasukan ini, esok yang mudah dibelasah tuan rumah, Vietnam 0-3 (11-21, 9-21), (9-21, 11-21), (9-21, 11-21), pagi ini.

Warna pingat perak yang semakin hampir menjadi milik Malaysia, mungkin bertukar kepada gangsa jika tidak berwaspada dengan kelebihan Vietnam di kubunya di bawah bimbingan Hoang Duc Luong. — BebasNews

[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017 dan Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).