MALAYSIA semakin menghampiri sasaran pingat perak regu berpasukan sepak takraw lelaki Sukan SEA Ke-31, Hanoi 2022 setelah mudah menumpaskan Kemboja 3-0 di Gimnasium Hoang Mai, hari ini.
Skuad negara memerlukan 100 minit untuk mencapai kemenangan sulung saingan liga empat pasukan sekali gus cuba bangkit kerana dibenam juara bertahan, Thailand 3-0, semalam.
Regu pertama negara, Zarif Marican Ibrahim Marican (tekong), Afifuddin Razali (perejam) dan Aidil Aiman Azwawi (pengumpan) menang 21-6, 21-10 terhadap Veasna Sam, Sokhom Chhorn dan Channem Sorn.
Mata kedua kita dipastikan oleh Faisal Fuad, Noraizat Nordin dan Norfaizzul Abd. Razak yang mengalahkan Chanthea Di, Hapchhun Nom dan Sovoutha Houth 21-2, 21-6.
Turut menang selesa ialah regu ketiga negara, Haziq Hairul Nizam (Zuhri Zain), Redwan Hakim Muhammad (Eqbal Shamsudin) dan Asyraaf Hadi dengan 21-5, 21-9 terhadap Si E Sen, Mithona Pheng dan Korn Kien.
Esok Malaysia akan melengkapkan jadual dengan lawan terakhir sambil cuba mengelak daripada perak bertukar gangsa kepada Vietnam yang dibelasah Thailand 0-3 (12-21, 7-21), (13-21, 8-21), (7-21, 9-21), hari ini.

Skuad wanita pula yang semalam mengejutkan Laos 2-1, terpaksa akur dengan keunggulan bekas naib juara dunia, Vietnam 0-3 dalam perlawanan kedua mereka.
Juga berformat liga sepusingan empat negara, mereka tewas dalam regu pertama (8-21, 15-21), regu kedua (21-19, 12-21, 10-21) dan regu ketiga (10-21, 11-21).
— BebasNews

[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017 dan Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).