Kumpulan Search yang dianggotai oleh Minn (dari kiri), Din, Denden Gonjalez, Kid dan Yan.

SEMUA peminat muzik tanah air tahu, kumpulan rock legenda Search ada masalah dalaman baru-baru hingga menyebabkan nama besar itu berpecah menjadi dua komponen.

Satu kumpulan dianggotai oleh bekas vokalis Search, Amy dan pemain bes, Nasir Daud. Mereka turut disertai dua pemain gitar yang pernah bersama Search iaitu Man Kidal dan Hillary Ang.

Manakala satu lagi kumpulan diwakili oleh Noordin, pemain gitar Search bersama adiknya, Kid. Kumpulan tersebut turut disertai oleh pemain bes yang sebelum ini pernah bersama Search iaitu Yan dan Minn sebagai pemain dram. Sementara itu, vokalis untuk kumpulan Search ini ialah Denden Gonjalez, dari Indonesia.

Jangan keliru ya, Konsert Endemik Search pada 4 Jun di Zepp Kuala Lumpur dijayakan oleh kumpulan Search yang menampilkan Amy sebagai vokalis.

Sementara itu, Noordin dan geng pula akan menjayakan Konsert Search Rocking On Rooftop yang akan berlangsung di bumbung Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur, pukul 9 malam, 11 Jun ini.

Walaupun lokasi atas bumbung bukanlah asing dalam beberapa penganjuran konsert artis tempatan sebelum ini, namun apa yang bakal diketengahkan Search ada keistimewaan tersendiri.

Kompleks Campbell itu sendiri misalnya, pada era 1980-an dan era eksplosif muzik rock adalah antara ‘port rockers’ selain Kompleks Pertama dan Kompleks Wilayah yang terletak berhampiran.

Yang pasti, gabungan muzik rock & roll Search, peminat rock dan lokasinya bakal mengimbau nostalgia kegemilangan muzik rock di situ.

Search janji akan memberikan persembahan terbaik sewaktu Konsert Search Rocking On Rooftop pada 11 Jun ini.

Noordin yang mengilhamkan konsert itu berkata, ia juga bakal menampilkan kelainan terutama dari segi bunyian, pencahayaan, rekaan pentas dan pemilihan lagu.

“Kami akan membawakan 14 hingga 17 lagu. Apa yang menarik ia adalah lagu yag jarang-jarang dan tidak pernah dimainkan Search dalam konsert-konsert sebelum ini.

“Search ada banyak lagu dan peminat juga minta mainkan macam-macam lagu. Lagu-lagu yang biasa dimainkan dalam konsert dulu, peminat sudah hafal. Jadi, kali ini kami nak kelainan. Kita juga nak mainkan lagu-lagu yang ada potensi untuk menarik pasaran luar terutama Indonesia,” katanya.

Noordin berkata, antaranya adalah lagu-lagu dari album keenam Search iaitu Rampage yang diterbitkan pada 1992.

“Album itu turut menampilkan Yan selaku pemain bes. Arah muzik album itu juga berbeza daripada album Search yang lain. Lagipun ramai peminat sukakan album itu,” katanya.

Bukan saja pemilihan lagu, rekaan pentas konsert berkenaan juga berbeza.

Noordin berkata, pentasnya tidak berbumbung dan tidak ada ‘backdrop’, sebaliknya penonton dihidangkan dengan panorama bangunan pencakar langit di Kuala Lumpur.

“Itulah ‘backdrop’ pentas kami. Pastinya ia memberi impak menarik terutama dari segi fotografi dan visual,” katanya.

Konsert Search akan berlatar belakangkan bangunan kerana tidak dibuat backdrop untuk persembahan tersebut.

Selain itu, kehadiran Denden, Yan dan Minn juga bakal memberikan arah muzik dan ‘sound’ yang lebih segar daripada Search.

Ini termasuk jurutera bunyi, pasukan produksi dan teknikal yang mantap demi memastikan Search tampil dengan ‘sound’ berkualiti.

Sementara itu, konsert ini juga bakal menampilkan Ratu Rock, Ella sebagai penyanyi undangan. Ella juga akan berduet dengan Denden.

Bagi yang tidak mengenali Denden, 39, dia adalah bekas peserta program The Voice Bulgaria yang menarik perhatian juri kerana lagu She’s Gone dendangannya itu.

Denden atau nama sebenarnya Denden Samsuhendar, kelahiran Bandung itu sebelum berkolaborasi dengan Search, adalah seorang YouTuber terkenal di Indonesia dan sering membuat ‘cover song’ dan lagu She’s Gone dendangan asal kumpulan Steelheart itu melonjak namanya.

Pasti ramai yang ingin mendengar suara Denden secara langsungkan, jadi jangan ketinggalan untuk membeli tiket-tiket konsert berharga RM88, RM198 dan RM298. Bagaimanapun, tiket berharga RM88 sudah habis dijual.

Tiket boleh dibeli di Search Rock Station, Kompleks Campbell manakala untuk pembelian dalam talian, layari laman web www.fenomenasearch.com. — BebasNews

Leave a Reply