foto Bernama
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR — Datuk Seri Ahmad Zahid menegaskan usul pindaan yang ingin diluluskan pada Persidangan Agung Khas UMNO hari ini bukanlah untuk menyelamatkan dirinya sendiri.

Presiden UMNO itu berkata, beliau ada mendengar suara-suara dalam kalangan ahli UMNO mengatakan, kononnya pindaan tersebut adalah untuk menyelamatkan kedudukannya sebagai Presiden.

“Suka saya tegaskan, ia tidak benar.Dangkallah jika ada di kalangan kita, termasuk saf kepimpinan tertinggi parti, berpandangan dan berfikiran sempit sedemikian.

“Jangan kita buat-buat lupa, gesaan agar pemilihan parti diadakan selepas pilihan raya umum adalah usul daripada majoriti Bahagian-Bahagian yang telah mengadakan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian masing-masing. Keputusan di peringkat akar umbi, dan seterusnya diangkat ke Perhimpunan Agung dua bulan lalu telah pun dipersetujui dan diluluskan,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Persidangan Agung Khas UMNO hari ini.

Media melaporkan minggu lalu, UMNO akan mengadakan persidangan tersebut untuk meminda perlembagaan parti agar pemilihan dibuat selepas Pilihanraya Umum (PRU) 15.

Jelasnya lagi, pindaan tersebut adalah manifestasi suara akar umbi.

Justeru katanya lagi, beliau yakin kesemua ahli UMNO hendak melihat parti kukuh dan berpadu.

“Adat memimpin, apa pun yang datang, bahtera perlu diselamatkan. Walau diri terkorban, namun bahtera jangan dibiarkan karam. Saya ingin tegaskan, pindaan Perlembagaan kali ini akan memberi ruang kepada pasukan, atau team kepimpinan Pusat, Bahagian dan Cawangan, bagi setiap penggal pemilihan, untuk memfokuskan gerak kerja menghadapi pilihan raya-pilihan raya Umum.

“Dengan mengabsahkan pindaan hari ini, saudara-saudari sekalian adalah pasukan yang akan membawa parti menghadapi PRU ke-15.
Inilah pasukan yang setelah jatuh bangkit dengan keazaman.
Inilah pasukan yang meskipun tewas PRU ke-14 tetapi kekal berpaksikan kesetiaan.
Inilah pasukan yang menggalas tanggungjawab parti dan mengharungi setiap cabaran.
Inilah pasukan yang tidak lari ketika bertempur di medan.
Inilah pasukan yang tidak tunduk kepada ugutan.
Inilah pasukan yang telah disiapsiagakan untuk menghadapi peperangan.
Inilah pasukan yang kekal istiqomah dalam perjuangan.
Inilah pasukan dalam siri pilihanraya kecil dan pilihanraya negeri yang telah menjana kemenangan,”katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, setelah PRU selesai, pemilihan parti akan dijalankan dan pasukan baharu akan dipilih.

Beliau menambah, pasukan yang baharu itu mempunyai masa maksimum lima tahun untuk menumpukan tenaga dan gerak kerja demi kesejahteraan rakyat.

“Pada masa yang sama, kestabilan parti terus terpelihara, bagi menghadapi pilihan raya-pilihan raya umum seterusnya.

“Sebagai peringatan buat kita bersama, izinkan saya sampaikan pesanan buat renungan, andai dimungkiri hasrat akar umbi, pasti kita akan dibenci, andai dikhianati keputusan parti
kita pasti akan dihakimi, andai tunduk kepada yang dimusuh, nescaya ia membinasakan diri, andai pahat masih berbunyi itulah tanda perbuatan keji, andai hasrat parti dijulang bersama, kegemilangan UMNO pasti menjelma, andai kita seia sekata Negara pasti selamat sejahtera,”katanya. — BebasNews

Leave a Reply