AFIFI: Keputusan ini saya lakukan atas rasa tanggungjawab dan sifat taat setia seorang rakyat kepada Sultannya demi melindungi darjat kemuliaan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak tidak dicacatkan. -Gambar fail/Bernama
Oleh Wartawan BebasNews

KETEGASAN Sultan Perak dalam isu penasihat agama baginda terserlah apabila Datuk Dr Afifi Al-Akiti mengambil keputusan berundur diri hari ini.

Afifi yang bergelar Orang Kaya Imam Paduka Tuan, Orang Besar Kelapan Negeri Perak menghantar surat mengundur diri bertarikh hari ini, 15 Mei.

Dalam surat peribadi Afifi yang tersebar di media sosial, yang dituju kepada Setiausaha Dewan Negara Perak, Datuk Seri Ayob Hashim, beliau berkata:

“Sejak dua minggu kebelakangan ini, berlaku penularan bahan-bahan tertentu dalam media sosial bertujuan mencemarkan nama saya.

“Saya memilih tidak mahu mengulas atau memberi sebarang jawapan yang boleh mencetuskan berlaku perdebatan berpanjangan yang tidak memberi sebarang manfaat.

“Bahan-bahan yang ditular juga kelihatan mempersoalkan kesesuaian peranan saya dengan institusi istana dan mempertikaikan peranan saya dengan urusan hal ehwal agama Islam.” (Sila baca lanjut di surat yang dilampirkan)

Sementara itu Dewan Negara Perak dalam kenyataan medianya hari ini menyatakan, warkah Afifi itu telah diangkat sembah kepada Sultan Perak.

“Baginda menzahirkan penghargaan atas segala khidmat yang diberikan oleh Dato’ Dr Afifi Al-Akiti dalam tempoh menyandang gelaran Orang Kaya-Kaya Imam Tuan dan berkenan menerima permohonan tersebut untuk berkuatkuasa 15 Mei 2022,” menurut kenyataan itu.

Sejak beberapa minggu ini penulis blog Sang Kelembai iaitu Datuk Zaharin Yassin mendedahkan dalam facebook beliau mengenai perlakuan tercemar yang dikatakan sebagai Dr Afifi di dalam sebuah kelab malam.

Pendedahan itu telah mencetuskan polemik di kalangan masyarakat dan pihak Istana Perak.

Satu sumber istana memberitahu BebasNews, keputusan itu membuktikan ketegasan Sultan Perak, jika didapati bersalah tidak ada pilih kasih.

“Keadilan dan hukuman yang sama dan saksama untuk semua pihak tanpa gentar dan pilih kasih,” katanya lagi.

Kenyataan media Dewan Negara Perak —

Surat Datuk Dr Afifi Al-Akiti —

— BebasNews

Leave a Reply