Good bye UMNO that’s belong to ZH (Zahid Hamidi) and his cronies, tak da Telor langsong untuk menghadapi pemilihan parti mengikut jadual. HAMPAS!!!!”

Bukan orang biasa yang menulis nota itu ke whatsapp saya. Beliau adalah bekas ahli majlis tertinggi UMNO. Ahli UMNO yang cukup senior. Beliau juga adalah mantan menteri kanan.

Saya setuju 100 peratus dengan pendapat beliau. UMNO kini sudah jauh tersasar. Apa sebenarnya tujuan parti itu, ke arah mana ia mahu belayar.

Rata-rata orang Melayu mahu ia dipulihkan semula. Orang Melayu masih menaruh harapan kepadanya. Tetapi syaratnya, wajah-wajah yang menerajuinya wajib diperbetulkan. Bersihkan daripada kekotoran. Dan bukan meminda perlembagaan bagi memberi lagi nyawa kepada mereka.

Saya pasti orang-orang Melayu yang tahu sepak-terajang permainan politikus-politikus itu tahu apa niat yang ada di dalam hati Zahid Hamidi mengenai percaturan pindaan itu.

Selamilah ke dalam lubuk hati Zahid. Itulah niat sebenar beliau.

Orang ramai tertawa membaca komen Zahid mengatakan pindaan itu bukan untuk menyelamatkan beliau.

Katanya: usul pindaan diluluskan pada Persidangan Agung Khas UMNO itu “bukanlah untuk menyelamatkan diri saya”.

Presiden UMNO itu berkata, beliau ada mendengar suara-suara dalam kalangan ahli UMNO mengatakan, kononnya pindaan tersebut adalah untuk menyelamatkan kedudukannya sebagai Presiden.

“Suka saya tegaskan, ia tidak benar. Dangkallah jika ada di kalangan kita, termasuk saf kepimpinan tertinggi parti, berpandangan dan berfikiran sempit sedemikian.” Beliau berkata demikian semasa berucap pada Persidangan Agung Khas UMNO pada hari Ahad 15 Mei.

Memang benar dalam kalangan parti itu pun banyak yang mempersoalkan mengenai pindaan itu. Tapi ramai yang takut bersuara terbuka. Bimbang kelak nama tiada dalam senarai PRU-15.

Malah Ku Li dalam wawancara dengan Sinar berkata: Pindaan perlembagaan UMNO semata-mata menjaga kain masing-masing tiada faedahnya.”

Tokoh yang menghantar mesej kepada saya itu menulis lagi: “Arguments by ZH pindaan perlembagaan datang daripada perwakilan bahagian kononnya? 3/4 KB-KB (Ketua Bahagian) sepatutnya boleh berundur dan diundurkan. Tetapi tetap ambil peluang untuk panjang tempoh jawatan supaya boleh terima watikah calon PRU 15 daripada ZH.

“Cukup-cukuplah gunakan alasan akar umbi. Tunggulah nanti akan keputusan orang Melayu dalam PRU 15. Sama ada berjaya untuk ZH balik berkuasa atau UMNO akan menjadi lebur berdebu. Kepada ALLAH SWT Kita Melayu berserah. Ammen Ya Rabb.”

Itulah suara sebenar “akar-umbi” dan bukan seperti yang dimonok-momokkan.

Mereka mahu pemilihan parti diadakan segera. Sebelum pilihan raya dan bukan selepas pilihan raya? Mereka berkata adakah Presiden mahu menjadi kuku besi, diktator?

Dengan pindaan itu, kuasa mutlak menentukan masa depan politik ahli UMNO berada dalam tangan presiden. Salah cakap, habislah riwayat. Seperti kata seorang pemimpin kanan UMNO “dia tunggu masa saya tersilap cakap sahaja.” Maka itu. Semua tidak berani bersuara — hanya berani di belakang-belakang sahaja.

Janganlah bagi alasan idea pindaan itu datangnya daripada akar-akar umbi pakcik atau makcik kita di Kampung Charok Padang, Sik mahupun di Kampung Beris Kubor Besar, Bachok.

Idea mutlak itu sebenarnya datang daripada pemimpin yang berkepentingan untuk diri sendiri. Tolong janganlah diretorikkan lagi soal ini.

“UMNO sudah rosak,” kata tokoh itu lagi. Saya sudah surrendered — angkat tangan.”

Sepatutnya dari dulu lagi UMNO patut diharamkan sahaja dan kemudian dihidupkan semula dengan barisan kepemimpinan yang baharu dan segar — jika itulah niat ikhlas mereka yang mahu membela nasib orang Melayu.

Adakah keputusan pindaan itu cukup berperlembagaan atau hanya demi untuk menyelamatkan tengkuk dan nyawa orang tertentu sahaja.

Pada PRU-15 ini orang Melayu akan kebingungan lagi, siapa yang mereka mahu pilih…

— BebasNews

Leave a Reply