Gambar hiasan - Foto blogspot.com

KESELAMATAN politik Peribumi Malaysia menghadapi ancaman serius yang hanya boleh diatasi menerusi penyatuan Melayu, Islam, dan Bumiputera menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Politik adalah pembentukan perilaku insan untuk mentadbir sekumpulan besar umat manusia. “Politics is the shaping of human behaviour for the purpose of governing large group of people” (Buzan & Little, 1993: 35).

Keselamatan politik pula melibatkan kestabilan pengurusan negara, sistem kerajaannya dan ideologi yang mengabsahkannya. “Political security concerns the organizational stability of state, systems of government, and the ideologies that give them legitimacy” (Buzan, 1998:19).

Dua konsep ini menunjukkan betapa luas dan murninya matlamat perjuangan sesebuah parti politik nasional di sesebuah negara.

Konsep ini harus menginsafkan komponen Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) untuk memupuk perilaku rakyatnya ke arah perpaduan kaum, keharmonian agama, dan permuafakatan sosioekonominya.

Mereka juga perlu memperkasakan darjat orang Melayu, umat Islam, dan kaum Bumiputera selaku bangsa teras, anak watan, dan kelompok terbesar di Malaysia.

Penyatuan kuasa politik BN dan PN, kesejahteraan sosioekonomi Melayu-Bumiputera, dan keselamatan jati diri Melayu-Islam-Bumiputera, adalah paksi keselamatan nasional yang penting kepada rakyat seluruhnya.

Hakikat ini jadi lebih penting kerana kini wujud gerakan politik dan keagamaan yang boleh mengancam jati diri Islam dan kuasa Melayu-Islam-Peribumi selaku teras politik Malaysia.

Ini sebabnya, kekalahan BN dalam PRU14 menyebabkan orang Melayu, umat Islam, dan kaum Bumiputera jadi semakin lemah dan kian terancam.

Namun, kekalahan BN tidak boleh dielakkan. Pada ketika itu integriti segelintir pembesar UMNO tercemar, imej UMNO sangat calar-balar, dan kesetiakawanan BN amat goyah.

Bagaimanapun, keruntuhan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) 22 bulan selepas itu, membuktikan Malaysia memang tidak boleh di perintah menerusi ideologi politik yang tidak serasi dengan kepentingan Islam, Melayu dan Bumiputera.

Memang PH memperolehi sokongan 95 peratus pengundi Cina, 75 peratus pengundi India, dan 25-30 peratus pengundi Melayu, Islam dan Bumiputera.

Tetapi, perangkaan 2018 menunjukkan, 20.07 juta daripada 29.6 penduduk Malaysia atau 69.1 peratus adalah Melayu, Islam, dan Bumiputera; 6.69  juta (23 peratus) keturunan Cina; dan 2.01  juta (6.9  peratus) keturunan India.

Ini menunjukkan, Kerajaan PH tidak menerima sokongan terbesar anak watan, bangsa teras dan majoriti umat  Islam Malaysia.  

Ini kerana 95  peratus undi Cina kepada PH adalah daripada 23  peratus keturunan Cina, sementara 75  peratus undi India hanya daripada 6.9 peratus keturunan India. Tetapi, 25-30 peratus undi Peribumi kepada PH adalah daripada 69.1  peratus rakyat Malaysia.

Ini bermaksud, kerajaan PH hanya didukung oleh kelompok minoriti, sementara kelompok majoritinya menyokong BN, PAS dan lain-lainnya.

Ini sebabnya pemerintahan PH menimbulkan ketidakselamatan ideologi, ketidakselamatan jati diri Islam dan Melayu-Peribumi, serta ketidakselsamatan sosioekonomi.

Oleh sebab itu juga Malaysia di era PH seolah-olah menuju ke arah perpecahan kaum, persengketaan agama, dan perbalahan sesioekonomi.

Tetapi, apabila Bersatu keluar daripada PH dan menubuhkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama UMNO, PAS dan lain-lainnya; Bersatu pula diserang habis-habisan oleh segolongan komponen utama PH.

Ini kerana PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, menggagalkan agenda politik 95 paratus pengundi Cina dan 75 peratus pengundi India Malaysia yang mahu menubuhkan “Malaysia Baharu”.

Ini juga kerana “Malaysia Baharu” adalah Malaysia yang kelihatannya tidak lagi mempedulikan masa depan Melayu, Islam dan Bumiputera.

Ini dicerminkan oleh beberapa kenyataan untuk “reset” dasar negara yang dibentuk sebelumnya, dan menerusi apa yang telah berlaku kepada Tabung Haji, Felda, MARA dan lain-lain kepentingan Melayu, Islam dan Bumiputera.

Hingga kini belum ada penafian berwibawa, kenapakah sekumpulan individu dilantik oleh Menteri Kewangan PH, yang antara kesannya adalah penjualan kepentingan Melayu, Islam dan Bumiputera.

Dakwaan ini disuarakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, pada 7 September 2020, ketika beliau menyenaraikan 17 transaksi penjualan aset terbabit dengan harga berbilion ringgit, termasuk milik Khazanah Holding.

Maka, inilah naratif utama kenapa Bersatu keluar daripada PH dan Muhyiddin membentuk PN. Bersatu bertindak untuk menyelamatkan Melayu, Islam dan Bumiputera daripada pelbagai aspek ketidakselamatan mereka di Malaysia.

Malangnya, UMNO seolah-olah tidak insaf akan matlamat ini. Segelintir pemimpinnya kelihatan jadi rakus kuasa, walaupun mereka diselamatkan oleh Bersatu dan PAS menerusi PN.

Akibatnya, Kerajaan PN diancam fitnah. Ini membolehkan kelompok PH yang kempunan untuk meruntuhkan Melayu, Islam dan Bumiputera; terus memecah-belahkan politik BN dan PN menerusi perilaku yang sudah jadi sejarah politk Malaysia mutakhir.

Lantas, matlamat PN untuk memulihkan keselamatan politik Peribumi Malaysia digerhanai karenah yang melemahkan Melayu, Islam dan Bumiputera.

Prilaku ini makin jelas apabila segelintir pemimpin UMNO yang terpalit dengan tuduhan rasuah dan salahguna kuasa, kini gairah untuk mencorakkan politik nasional Malaysia.

Bersatu dan PAS yang bermati-matian menyekat kegelojohan segelintir komponen PH untuk memecah-belahkan permuafakatan dan penyatuan politik Melayu, Islam dan Bumiputera; terus mereka perkotak-katikkan.

Ini sebabnya, Malaysia menghadapi ancaman keselamatan politik, keselamatan masyarakat, keselamatan jati diri, keselamatan ekonomi dan keselamatan nasional sejak kekalahan kerajaan BN, dan kerajaan PN.

Selagi UMNO kian penasaran, selagi Bersatu dan PAS terus diperlekehkan olehnya, selagi itulah keselamatan politik Melayu, Islam dan Bumiputera di Malaysia jadi semakin terancam.

Pemimpin dan ahli UMNO, Bersatu dan PAS mesti bertindak segera jika mahu selamat!

— BebasNews

Leave a Reply