Shahron (tiga dari kiri)menunjukkan memorandum yang dihantar bersama penduduk kepada SPRM Selangor.

SHAH ALAM — Warga Gombak menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat isu pentadbiran Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia yang didakwa menyeleweng peruntukan untuk rakyat.

Gesaan tersebut dibuat sekumpulan penduduk yang tampil menyerahkan memorandum kepada SPRM Selangor di Seksyen 16 hari ini.

Wakil penduduk DUN tersebut, Shahron Jamaluddin berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa anak syarikat kerajaan negeri, Menteri Besar Incorporated (MBI)  menyalurkan sejumlah dana kepada Pejabat Penyelaras DUN Gombak Setia.

Dakwanya, jumlah yang sepatutnya diperuntukkan itu bagaimanapun tidak diterima sepenuhnya kepada kawasan DUN.

“Kami berasa terkilan atas perkara yang berlaku kerana ia melibatkan isu integriti sesebuah organisasi.

“Justeru, kami menggesa SPRM segera memulakan siasatan kerana kerisauan kami terhadap penyalahgunaan dana dan ketirisan dana untuk masyarakat Gombak,” katanya.

Jelasnya lagi, pihaknya mengetahui isu itu berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada beberapa individu tertentu berkaitan penyalahgunaan kedudukan dan jawatan.

Katanya lagi, pihaknya turut memohon tiada campur tangan dari mana-mana ahli politik termasuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

“Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua diharap tidak mencampuri urusan siasatan tersebut,” katanya.

Tambahnya lagi, isu terbabit dipercayai berlaku selama beberapa tahun namun siasatan lanjut masih dijalankan. — BebasNews

Leave a Reply