ZAHID PENIPU

1. Saya disaman Dato Seri Zahid Hamidi kononnya saya memfitnah beliau berkaitan beberapa pertemuannya dengan saya semasa saya menjadi Perdana Menteri Kerajaan Pakatan Harapan.

2. Ianya berkisar tentang kenyataan saya bahawa dia minta saya campur tangan dalam urusan perbicaraan kes mahkamah yang beliau hadapi.

3. Oleh kerana perkara ini akan menjadi kes mahkamah, saya tidak bertujuan untuk ulas panjang tentang tuduhan Zahid di sini.

4. Saya akan jumpa dia di mahkamah dan telah arah peguam saya menyampaikan kesediaan saya.

5. Sebenarnya saya bosan dengan sikap Zahid. Tindakan saman yang diambil hanya sebagai usaha untuk tutup penipuannya menerusi proses mahkamah.

6. Zahid ini penipu. Orang putih kata “compulsive liar”, pembohong tegar. Dulu semasa kempen pilihanraya umum ke-14, dia keluar kenyataan kononnya kad pengenalan saya yang asal menamakan saya sebagai Mahathir a/l Iskandar Kutty.

7. Dia dakwa bahawa IC biru saya dengan nama tersebut dihantar kepadanya oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara. https://www.malaysiakini.com/news/390299

8. Dakwaan ini dibuat Zahid kerana hendak tuduh bahawa saya berketurunan India dan telah mempergunakan orang Melayu selama 22 tahun saya jadi Perdana Menteri.

9. Saya tunggu apakah Zahid akan keluar bukti ini pada khalayak ramai. Tetapi sampai habis pilihanraya tidak.

10. Dia nak burukkan saya sedemikian untuk mempamer kepada umum yang saya menipu mengenai status bangsa saya.

11. Dengan itu dia mahu pertikai kelayakan saya pimpin UMNO, parti-parti Melayu yang lain dan seterusnya orang Melayu keseluruhannya.

12. Kononnya saya “anak lelaki” dan bukan “bin”, jadi saya ini bukan Melayu.

13. Ya, saya memang pun ada darah keturunan India dan ini saya nyatakan dalam buku saya. Saya tidak nafi. Tapi hakikatnya sijil lahir dan kad pengenalan saya adalah Mahathir bin Mohamad.

14. Mengikut takrifan perlembagaan Malaysia (Perkara 160) saya Melayu dan perjuangan saya adalah untuk pertahan kepentingan bangsa saya.

15. Ibu dan bapa saya dilahirkan di Tanah Melayu sebelum Merdeka dan kami semua beragama Islam. Sejak kecil, pertuturan keluarga saya di rumah adalah Bahasa Melayu serta adat yang kami amal adalah adat Melayu.

16. Sebelum ini saya tidak gemar mengguna mahkamah walau ramai yang memfitnah saya kerana saya sedar di dalam kempen politik akan ada yang bertindak di luar batas dan had.

17. Tetapi kali ini saya merasa perlu bertindak kerana sikap pembohong Zahid ini amat memualkan dan tidak boleh dibiar begitu sahaja. Ia bukan saja kerana ia merosak reputasi saya tetapi penipuannya kepada penyokong Umno dan orang Melayu lain demi untuk dia mahu kekal berkuasa amat merbahaya.

18. Saya sedang pertimbang untuk ambil tindakan undang-undang kerana pembohongan Zahid yang memfitnah saya.

19. Saya cabar Zahid untuk tunjuk bukti tentang identiti saya yang pertikai diri status bangsa saya sebagai orang Melayu.

20. Jika dia tidak meminta maaf dan menarik balik fitnah itu, saya akan ambil tindakan mahkamah.

DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
17 Mei 2022

— BebasNews

Leave a Reply