NORAIZAT Nordin (kiri) dan Afifuddin Razali (kanan) cuba memburu sebutir pingat emas acara beregu Sukan SEA Hanoi 2022 tanpa Thailand.

MALAYSIA kian pasti merangkul sebutir lagi pingat malah mungkin lebih baik daripada gangsa acara beregu setelah mengalahkan Indonesia 2-0 (21-19, 21-8) apabila membuka tirai Kumpulan E sepak takraw Sukan SEA Ke-31, Hanoi 2022.

Hari ini, gandingan Noraizat Nordin dan Aidil Aiman Azwawi memastikan kemenangan di Gimnasium Hoang Mai, Hanoi, Vietnam itu terhadap Saiful Rijal (Rusdi) dan Hardiansyah Muliang.

Beregu negara dijangka tidak bermasalah besar untuk mengalahkan Kemboja sekali gus mara ke separuh akhir sebagai juara Kumpulan E.

Tiada perlawanan play-off bagi penentuan pemilik pingat gangsa sepak takraw temasya serantau Asia Tenggara ini.

Kuasa utama, Thailand memilih untuk tidak menyertai beregu sejajar syarat larangan monopoli Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) iaitu setiap negara peserta hanya boleh bermain tiga daripada empat acara kecuali tuan rumah.

Kumpulan D mengandungi tuan rumah, Laos, Filipina dan Myanmar yang tiket separuh akhirnya masih terbuka apabila tiga daripada mereka sudah memenangi satu perlawanan.

Wanita Malaysia pula tidak menyertai acara beregu kerana memberikan tumpuan kepada kuadran (berempat) yang bermula Jumaat ini.

Mereka yang telah mengumpul dua pingat gangsa regu berpasukan dan antara regu, diundi dalam Kumpulan D dengan pilihan utama, Thailand dan Myanmar. — BebasNews

Leave a Reply