SHAH ALAM — Pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memaklumkan, semua individu yang tidak lengkap vaksinasi dibenarkan menghadiri majlis akad nikah di Selangor secara bersyarat bermula kelmarin.

Ia selaras pelaksanaan majlis akad nikah dibenarkan di masjid, surau, rumah atau mana-mana dewan di negeri ini.

Menurut JAIS, kebenaran tersebut turut melibatkan pelaksanaan di JAIS dan Pejabat Agama Islam Daerah (PAID).

“Pertama, mereka bukannya terdiri daripada individu yang sedang positif Covid-19.

“Selain itu, mereka tidak berada dalam tempoh Arahan Perintah Pengawasan Dan Pemantauan (HSO),” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya.

Jelasnya, individu itu juga bukan terdiri daripada warga negara yang baru tiba di Malaysia tanpa vaksinasi lengkap.

Jelasnya lagi, pelaksanaan majlis akad nikah tidak menetapkan had kehadiran bagi individu yang lengkap menerima vaksinasi.

JAIS menasihatkan semua pihak supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

November tahun lalu, media melaporkan JAIS membenarkan pelaksanaan majlis akad nikah di semua masjid dan surau namun tertakluk kepada beberapa syarat yang ditetapkan.

Majlis tersebut hanya dibenarkan sebanyak enam sesi sehari masing-masing tiga pada sebelah pagi dan petang.

Semua pihak yang menghadiri upacara itu wajib lengkap menerima dua dos suntikan vaksin. –BebasNews

Leave a Reply