Penang Free School - Foto Perpustakaan Negara Malaysia

TANGGAL 16 Mei baru-baru ini ialah Hari Guru. Sudah tentu ramai yang meraikannya dengan mengingati guru-guru yang telah mendidik dan menjadikan kita sebagai insan yang bertamadun. Guru dikaitkan dengan persekolahan. Namun guru yang pertama yang menyekolahkan kita dari sebelum kita dilahirkan ke dunia ialah Ibu kandung.

Dalam hal ini , ibu kita sendiri tidak pernah ralat ke atas anaknya.

Tidak semestinya begitu dengan sekolah sebagai satu institutusi. Sudah tentu kita tahu peranan dan fungsi sekolah dalam pembinaan individu, masyarakat, negara dan tamadun. Saya pernah menulis mengenai alma mater saya, Penang Free School (PFS) di Green Lane, kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Penang Free, beralamat di Jalan Masjid Negeri, Pulau Pinang.

PFS adalah antara sekolah Inggeris terawal di Asia, diasaskan pada tahun 1816. Satu-satunya yang telah ditanam ketika bersekolah di PFS, dan saya percaya, di semua sekolah, ialah orientasi, nilai dan sikap yang sepatutnya terhadap diri sendiri, masyarakat dan dunia. Dari sekolah, kita juga mewarisi disiplin dan hidup berperaturan.

Dalam kolum saya di salah sebuah suratkhabar Inggeris 15 tahun lalu, saya menceritakan pengalaman dan pedidikan yang diberikan oleh PFS, menumpukan bagaimana saya belajar, meminati, dan mendalami mata pelajaran sejarah. PFS menawarkan sejarah Malaysia, Asia Tenggara dan Sejarah Dunia.

Dan akhirnya apa yang saya dapati ialah apa yang dipelajari dari sejarah Malaysia, sejarah Asia Tenggara dan Sejarah Dunia itu berpaksikan perspektif British – sebagai kuasa penjajah.

Saya juga dapati bahawa guru-guru yang mengajar sejarah dari tingkatan satu hingga ke tingkatan enam atas semuanya bukan Melayu. Dan saya ingat bagaimana mereka menekankan dan bersimpati dengan sejarah benua India dan sejarah China. Guru yang berbangsa India semasa tingkatan satu menekankan tamadun lembah Indus, artifak dan peninggalan arkeologi di Mohenjo daro dan Harrapa, dan serta pembentukan sistem kasta. Guru-guru sejarah berbangsa China menceritakan bagaiamana negara China dihina, dan dipecah-pecahkan oleh kuasa Barat. Satu lagi mata pelajaran yang saya minat ialah geografi. Inipun ada diskriminasinya.

Semasa dekad 1970an, saya dapati kumpulan saya di PFS secara halus menjadi mangsa penindasan.

Mungkin ini tidak dirasai oleh rakan-rakan saya pada masa itu; serta juga setelah kira-kira 50 tahun kini. Namun itulah yang saya sedari sepanjang menjadi pelajar yang setia kepada sekolah, dan tahun-tahun dewasa seterusnya ketika memenungkan zaman persekolahan di PFS.

Masa itu ialah dekad pasca peristiwa 1969, dekad penggubalan dan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru, permulaan dekad peluang dan keutamaan kepada masayrakat Melayu. Persekolahan saya di PFS bermula pada tahun 1970, hingga 1976. Banyak yang saya perhatikan yang tidak kena. Pada ketika itu, tidak ada ruang untuk mengadu.

Perintis peringkat negeri dan kebangsaan dengan Pengarah PSP pertama En. Chong Seck Chin (1973) – Foto Perpustakaan Negara Malaysia

Ketiadaan perkauman/dikriminasi di PFS dekad 1970an adalah satu mitos. Saya sebut zaman dekad 1970an semasa saya belajar di sana. Saya tidak tahu dan tidak dapat mendalami semangat dan orientasi persekolahan padad zaman sebelum dan selepas itu. Pada zaman saya banyak contoh yang dapat saya petik – peristiwa yang nyata dan fenomena yang tidak ketara. “Mood” pada masa itu ialah pelajar Melayu tidak pintar, keterbelakang dan tidak boleh berdaya maju. Melayu (sekurang-kurangnya kumpulan saya) tidak dianggap boleh berfikiran saintifik dan berdaya intelektual. Ini berlaku untuk semua mata pelajaran, kecuali mata pelajaran Bahasa Melayu.

Saya dapat rasai sikap prejudis dan sinis yang menebal terhadap pelajar Melayu. Ini jelas terutama sekali apabila tiba ke tingkatan empat dan lima di mana diwujudkan aliran sains dan sastera. Di PFS ketika itu, terdapat empat kelas sains dan dua kelas sastera. Pelajar Melayu yang disalurkan ke kelas sastera diremahkan dan dianggap bodoh, tidak ada masa depan. Ini satu sikap yang membantut perkembangan intelektual.

Sikap anti-Melayu dan menganggap budak-budak Melayu bodoh wujud di PFS pada masa itu. Malah wujud satu orientasi prejudis bahwa beberapa kegiatan ko-kurikulum sekolah hanya diutamakan kepada pelajar bukan Melayu. Pelajar Melayu ‘dijauhi’ daripada membina nilai estetika dan siasah yang kompetitif. Pelajar Melayu hanya “layak” menjadi ahli Persatuan Kebudyaan Melayu sahaja. Saya perhatikan dan ingat ungkapan-ungkapan yang dipertuturkan oleh guru-guru bukan Melayu. Guru-guru Melayupun terpengaruh.

Apabila kami menampilkan pencapaian-pencapaian yang cemerlang, guru-guru terbabit mempamerkan satu sikap yang membawa maksud “ini tidak mungkin berlaku.” Ini juga termasuk sikap pengetua. Mereka langsung tidak menggalakkan kami maju. PFS mewujudkan satu halangan.

Saya beri beberapa contoh. Kes menurunkan markah seorang pelajar rakan sedarjah setelah beliau mendapat markah tertinggi untuk mata pelajaran geografi.

Setelah mengembalikan tugasan kepada semua pelajar dalam kelas baharulah guru itu sedar bahawa yang diberinya markah tertinggi ialah pelajar Melayu. Maka markahnya diturunkan.

Ada guru yang enggan beri markah kepada penulisan esei bahasa Inggeris kepada seorang pelajar Melayu di tingkatan lima. Guru itu dengan nada marah menyuarakan esei itu tersebut terlalu sempurna dan cemerlang. Dan dituduh pelajar itu mempelagiat. Ini bukan soal sekolah kolonial. Ini penindasan di sekolah; budaya diskriminasi para guru dari sebuah sekolah di Malaysia. Itulah PFS pada masa itu.

— BebasNews

Leave a Reply