Isaac Voo anggota kumpulan IN2IT mahu meneruskan kerjaya seninya di tanah air.

TIAP kali artis dari Korea Selatan mengadakan konsert di Malaysia, sambutan tak pernah menghampakan berbanding persembahan artis tempatan.

Tambahan pula fenomena K-Pop ini sudah menguasai dunia dan di mana saja ada peminat tegar mereka. Tidak hairanlah orang luar dari negara tersebut mahu menjadi sebahagian daripada industri hiburan K-Pop.

Salah seorang rakyat Malaysia yang boleh dikatakan bertuah berjaya menjadi sebahagian daripada ‘penghibur K-Pop’ ialah Isaac Voo, 28, yang dipilih selepas berjaya dalam sebuah program realiti di Korea Selatan.

Anak kelahiran Kota Kinabalu itu memulakan langkahnya di sana bersama dengan kumpulan IN2IT yang mula aktif pada 2017. Namun sebagai menghargai sokongan peminatnya di Malaysia, Isaac mengambil keputusan untuk aktif berkarya di tanah air.

Peluang untuk mengembangkan bakatnya di Malaysia tercetus selepas wabak Covid-19 kerana Isaac tidak dapat menyertai mana-mana aktiviti dan promosi kumpulannya pada separuh kedua tahun 2020.
Pada tahun yang sama, kumpulan tersebut kemudiannya menghentikan aktiviti mereka buat sementara waktu selepas lima daripada ahli mereka telah disenaraikan untuk berkhidmat dalam aktiviti wajib ketenteraan Korea Selatan.

Untuk melebarkan sayapnya di Malaysia, Isaac mengambil keputusan untuk menjadi artis rakaman sepenuhnya di bawah naungan Prodigee Asia Talent (PAT), iaitu sebuah syarikat pengurusan artis di bawah naungan WebTVAsia yang juga merupakan syarikat hiburan digital terbesar di Asia.

“Saya mahu lebih ramai peminat Malaysia mengetahui tentang kewujudan saya dalam industri hiburan tanah air, kerana masih banyak perkara yang saya belum dapat laksanakan di sini.

“Dengan adanya keluarga baharu saya Prodigee Asia Talent di Malaysia ini, saya dapat menonjolkan lagi bakat yang ada. Selain itu, saya juga berharap untuk bekerjasama dengan rakan artis di Prodigee Asia Talent, artis-artis tempatan, dan mencari banyak peluang untuk bertemu peminat-peminat di Malaysia.

Kini Isaac Voo adalah artis rakaman di bawah naungan Prodigee Asia Talent.

“Saya mengimpikan untuk mempersembahkan lebih banyak karya kepada peminat yang telah menyokong dan menantikan kepulangan saya,” kata Isaac yang juga aktif dalam beberapa program di Malaysia ‘The X-Project’.

Isaac turut menyuarakan keinginannya untuk bekerjasama dengan seniornya dalam projek dan menghasilkan beberapa lagu hit. Dia berharap agar orang ramai dapat menyokong dan menantikan aktivitinya yang akan datang.

“Walaupun sebelum ini berada di Korea Selatan, saya sering memberikan tumpuan cerita-cerita dan pelbagai rancangan hiburan di Malaysia, serta kandungan muzik yang dihasilkan oleh penyanyi tempatan.

“Artis-artis di bawah naungan PAT juga sangat berbakat dan saya berharap agar dapat menjadi seperti mereka,” ujarnya.

Sementara itu, pengasas bersama Prodigee Asia Talent, Miss Vicky Lum berkata, pandemik tidak menghalang industri muzik tanah air untuk menerima kehadiran bakat-bakat baharu.

“Bagi kami, bukanlah sahaja dari segi karya, bahkan juga bakat muda ini boleh menyerikan dan memberikan nafas baharu untuk industri hiburan tempatan.

“Sebagai pihak pengurusan Isaac, kami akan melakukan yang terbaik untuk menyokong pelbagai aktiviti Isaac di Malaysia. Saya turut berharap agar pihak media tempatan dapat memberikan sokongan sepenuhnya terhadap Isaac,” katanya.

PAT juga menguruskan beberapa artis tempatan terkenal seperti Hao Ren, Priscilla Abby, Thomas Kok, dan Daniel Wong. — BebasNews

Leave a Reply